Saudara Pengarang,
DENGAN rasa kesal, kami
terpaksa mengumumkan mengenai perubahan tempat untuk Ceramah Umum Pakatan Rakyat
(PR) yang dijadualkan pada 15 September ini ke satu lokasi yang akan diumumkan
kemudian. Buat masa ini, kami masih mencari lokasi lain untuk tujuan tersebut.
Penggunaan Dewan Foochow
untuk Ceramah Umum PR yang dijadualkan pada 15 sept pada dasarnya sudah
diperolehi apabila resit resmi bayaran tunai sebanyak RM2,200.00 untuk tujuan
tersebut dikeluarkan pada 8/8/2012 oleh Champion Sport Trophy, sebuah syarikat
yang diamanahkan oleh Pengurusan Persatuan Foochow untuk pengendalian dewan
tersebut.
Namun demikian, kami di
beritahu mengenai pembatalan tempahan tersebut melalui surat resmi yang
ditandatangani oleh Presiden Persatuan Foochow Labuan yang disampaikan kepada
kami bertarikh 27/8/2012, iaitu 19 hari selepas mendapat kelulusan resmi dari
syarikat pengendali dewan tersebut.
Pihak kami cuba membuat
rayuan di atas pembatalan tersebut pada hari yang sama dan pihak pengurusan
berjanji akan menilai semula keputusan tersebut dan akan mengumumkannya kepada
kami selepas mengadakan satu mesyuarat AJK pengurusan Persatuan Foochow.
Pada 1 September, kami
diberitahu bahawa keputusan mesyuarat pengurusan memutuskan untuk kekal
membatalkan tempahan kami.
Jangkamasa 19 hari yang
terpaksa mereka ambil untuk membatalkan tempahan kami yang sudah disahkan atas
alasan tidak membenarkan dewan tersebut digunakan oleh Parti dan aktiviti
politik menjadi satu tandatanya kepada kami.
Mereka seharusnya lebih
bertanggungjawab dan peka akan kesulitan kesulitan yang terpaksa kami hadapi
disebabkan tindakan mereka kerena majlis tersebut dijadualkan hanya dalam masa
dua minggu dari sekarang. Begitu juga dengan perbelanjaan untuk kos percetakan
media yang sudah dibuat dalam menyediakan beribu ribu flyer, banner dan
backdrop yang sudah tidak dapat digunakan lagi.
Kesulitan pihak pembangkang
untuk mengadakan ceramah politik di dewan serba guna dan premis agensi kerajaan
bukan sesuatu yang baru di negara kita dan ia tidak seperti yang digambarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak selama ini berhasrat mahu melaksanakan tranformasi politik di negara
ini yang memberikan kebebasan kepada parti politik menerangkan dasar-dasar
parti kepada rakyat secara terbuka. Namun di sebalik kemampuan Umno dan BN
memonopoli media cetak serta elektronik untuk menjelaskan dasar-dasar politik mereka,
pembangkang hanya mampu menggunakan saluran ceramah di kampung-kampung atau
tempat-tempat persendirian.
Sekiranya hak itu pun
dipertikaikan, bagaimana pihak pembangkang mampu menyampaikan dasar parti
mereka untuk dinilai rakyat dan seterusnya menikmati demokrasi demi mewujudkan
persaingan sihat dan menyampaikan wadah politik masing-masing?
Aktiviti seperti ini harus
dilihat turut mempunyai unsur kemasyarakatan kerana ia menyediakan satu
platform kepada rakyat biasa dalam menyediakan pilihan yang lebih terbuka di samping
mendengar sendiri banyak penjelasan mengenai tohmahan yang selama ini
dilontarkan kepada pihak pembangkang dalam seluruh jentera media cetak dan
elektronik kerajaan untuk rakyat nilai kebenarannya.
Kenapa ceramah umum
pembangkang untuk menjelaskan realiti sebenar untuk rakyat nilai sendiri terus
disekat? Tidak cukupkah dengan media arus perdana dan saluran media elektronik
yang mempromosi mereka dan menghentam pembangkang 24 jam setiap hari?
Salam Hormat,
PKR LABUAN
No comments:
Post a Comment