SANDAKAN: Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak yakin rakyat Sabah cukup matang untuk menolak dan tidak
termakan hasutan yang dibawa oleh parti pembangkang.
Beliau berkata, rakyat Sabah
tahu bahawa hanya melalui Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja dapat
membangunkan negeri ini dan membela nasib rakyat.
Katanya rakyat Sabah dan
Malaysia keseluruhannya sudah memahami bahawa agenda terpenting bagi kerajaan
adalah Progam Transformasi Nasional. "Sehingga kini, sudah banyak kejayaan
dan bagi kami (kerajaan) lima tahun untuk melipatgandakan kejayaan itu,"
katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Zon 5
(Libaran, Sandakan, Batu Sapi, Kinabatangan dan Beluran) di sini, kelmarin.
Najib dan isteri Datin Seri
Rosmah Mansor kemudiannya menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri
anjuran Umno Zon 5 sebelum beliau berlepas ke Kota Kinabalu.
Najib berkata kerajaan
Persekutuan menyedari Sabah masih memerlukan kemudahan jalan raya, elektrik,
rumah dan pelbagai kemudahan lain.
Katanya semua itu mampu
dilaksanakan oleh BN yang selari dengan komitmen Janji Ditepati dalam
menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat di mana sahaja mereka berada.
Beliau berkata hubungan baik
dan kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah
memperkukuhkan lagi usaha membangunkan negeri ini.
"Saya senang hati
dengan kerjasama diberikan oleh kerajaan negeri Sabah diketuai (Ketua Menteri)
Musa Aman dalam membangunkan Sabah.
"Jika terdapat
pandangan berbeza, ia dibawa berbincang dan diselesaikan untuk kepentingan
rakyat Sabah. Ini menjadi asas penting kepada kerjasama antara kerajaan pusat
dan negeri Sabah," katanya.
Perdana Menteri berkata
beliau akan memastikan pembangunan di Sabah seimbang dengan negeri-negeri di
Semenanjung Malaysia.
Katanya antara usaha itu
adalah memberikan peruntukan besar di bawah program transformasi nasional
kepada Sabah dan Sarawak. (Bernama)
No comments:
Post a Comment