MEMANDANG dengan wajah yang
sayu, anak itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai
kelapa yang dibina bersama neneknya dari rentung dijilat api.
Pada hari itu, bukan sahaja
salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia harus mencari jalan
melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa orang perkerja.
Tertekan dengan kejadian
itu, semangatnya tidak patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya
bagi menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut,
sedangkan ketika itu dia cuma berusia 12 tahun.
Akibatnya, anak itu
kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan dengan
mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang bersekolah di
darjah tiga dan empat.
Akhirnya, hasil titik peluh
anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh
keluarganya.
Peristiwa kebakaran rumah
salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal
dalam ingatanya.
Pada 1979, 21 Tahun selepas
kejadian kebakaran rumah salai neneknya, anak kecil yang pernah menjual kelapa
salai itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad.
Dua tahun kemudiannya, nama
penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.
Ini atas kejayaan mengetuai
operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London dengan ‘membawa pulang’ syarikat
ladang kelapa sawit gergasi Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai
Kumpulan Guthrie Bhd).
Dua puluh tujuh tahun
selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar
Selangor yang ke-14.
Demikian antara liku-liku
kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan
beliau dalam buku sulungnya, ‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’.
Buku tersebut dilancarkan
oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu majlis
yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.
Selain menceritakan
pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid turut menyelitkan
tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk dikongsikan bersama
masyarakat.
Antara pengajaran penting
yang dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat
menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Selain isi kandungan yang
padat dengan pengalaman perit dan lucu buku ini bertambah menarik kerana
dipersembahkan dengan gaya penyampaian seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi
secara intim dan mesra dengan pembaca.
Ketika ditemui semasa
pelancaran, Abdul Khalid memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan
perintis kepada penulisan bacaan yang lebih berat.
“Banyak kali rakan-rakan
saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.
“Jadi saya hasilkan buku ini
dahulu sebagai permulaan kepada penulisan yang lebih berat, lebih bersifat
akademik,” katanya kepada media selepas pelancaran buku tersebut.
Menurut Abdul Khalid, hasil
jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah
kebajikan.
Buku ini sudah pun berada di
pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.(Harakahdaily)
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete