PRIHATIN....Musa
berkata kita seharusnya berterima kasih kepada pemimpin kita, khususnya perdana
menteri yang begitu prihatin terhadap keperluan rakyat.
KOTA KINABALU : Ketua
Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta rakyat Sabah, khususnya golongan muda,
menjauhi budaya membenci pemimpin yang keterlaluan sehingga sanggup memijak
gambar dan sebagainya.
Sambil menyifatkan perbuatan
tersebut sebagai biadab, Musa berkata perkara sedemikian tidak sepatutnya
berlaku di negara ini.
“Itu bukan budaya kita dan
itu bukan budaya orang Malaysia. Bagi kita di Sabah, kita tidak seharusnya
biadab terhadap pemimpin kita... kita seharusnya menghormati orang-orang tua
dan pemimpin kita.
“Kita seharusnya berterima
kasih kepada pemimpin kita, khususnya perdana menteri yang begitu prihatin
terhadap keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan
amanat kepada penuntut baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Likas dekat
sini hari ini.
Musa diminta mengulas
tindakan segelintir pihak memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Himpunan Janji Bersih di Dataran
Merdeka, ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55 Khamis
lepas.
Musa berkata Perdana Menteri
memperkenalkan bermacam projek dan dasar yang kesemuanya menjurus kepada
pembelaan nasib rakyat, termasuk anak-anak muda dan pelajar.
“Inikah balasan kepada
pemimpin kita yang baik hati? Kita seharusnya bersyukur dan berterima kasih.
Jadi saya minta rakyat Sabah jangan ikut budaya yang biadab. Kita bersyukur
kepada Perdana Menteri lebih-lebih lagi kepada kerajaan BN (Barisan Nasional),”
katanya.
Sementara itu, mengulas
mengenai peningkatan pelajar di UMS untuk sesi akademik kali ini termasuk
pelajar antarabangsa, Musa berkata perkara tersebut satu perkembangan baik yang
menunjukkan UMS kini turut terkenal di peringkat antarabangsa.
Untuk sesi akademik kali
ini, UMS menawarkan 5,068 tempat berbanding 4,606 tahun lepas, manakala pelajar
antarabangsa pula meningkat tujuh peratus.
Terdahulu dalam ucapannya,
Musa berkata kerajaan Sabah akan terus komited dan bekerjasama dalam membantu
segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.
Beliau berharap pelajar
baharu itu dapat menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran dan tidak terlibat
dengan aktiviti tidak sihat yang hanya merugikan mereka. (Bernama)
No comments:
Post a Comment