SURAKARTA (Jawa Tengah) :
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bangsa Melayu yang
menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi bukan sahaja mampu mengembalikan
ketinggian dan keteguhan tamadunnya sejajar dengan tamadun bangsa lain di
dunia, bahkan boleh mengatasi tamadun bangsa lain.
Beliau menegaskan bahawa
melalui penguasaan ilmu pengetahuan, bangsa Melayu akan berpeluang
menggunakannya untuk memperbaiki kehidupan mereka dan meningkatkan tamadun
serta kuasa, sebagaimana yang pernah dilakukan bangsa Eropah pada suatu ketika
dahulu dengan mempelajari ilmu orang Islam.
“Seperti bangsa Eropah yang
menyerap ilmu yang diterokai oleh orang Islam, kali ini pula etnik Melayu perlu
kejar ilmu yang dikumpul dan diterokai oleh bangsa Eropah dan bangsa-bangsa lain.
“Tetapi, tidaklah memadai
jika hanya menumpu kepada penguasaan ilmu yang sedia ada sahaja.
“Untuk menjayakan etnik
Melayu, kaji selidik hendaklah dilakukan kepada ilmu yang ada dan ditokok
tambah dengan ilmu yang baharu,” katanya dalam syarahan umum bertajuk
“Memperkasa Bangsa Melayu” di Universiti Sebelas Maret Indonesia
(UNS-Solo), Jawa Tengah, di sini Isnin.
Syarahan umum itu bersempena
penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Bidang Kepimpinan
dan Pemberdayaan Bangsa Melayu kepada beliau oleh Universiti Sebelas Maret
Indonesia di kampus induk universiti itu di sini.
Anugerah itu bagi
mengiktiraf sumbangan dan jasa Dr Mahathir dalam usaha meningkatkan martabat
bangsa Melayu di peringkat dunia.
Dr Mahathir juga menekankan
tentang pentingnya peranan institusi pengajian tinggi yang dapat memberi ilmu
pengetahuan kepada seramai mungkin bangsa Melayu.
Dengan cara demikian,
tamadun etnik Melayu dapat meningkat sehingga bangsa itu menjadi bangsa yang
kesemuanya celik huruf dan berilmu kerana keadaan itu akan menyumbang kepada
ketamadunan dan kekuatan.
“Kita hidup sekarang dalam
zaman pengetahuan dan maklumat. Zaman ini berkembang maju kerana teknologi IT
dan Internet membolehkan siapa sahaja mengejar dan memiliki ilmu tanpa had.
Sementara alat-alat ini
mempermudah proses menguasai ilmu, penggunaan alat-alat ini sahaja tidak
memadai.
“Bangsa yang ingin
memperolehi kekuatan, harus menguasai teknologi dan kemampuan mencipta dan
mengeluarkan segala alat yang diguna dalam kehidupan manusia dan untuk menyebar
ilmu,” katanya.
Dr Mahathir berkata
penguasaan teknologi dan teknik dalam bidang pembuatan, misalnya, boleh
meningkatkan keupayaan mencipta, membangun dan mengeluarkan apa sahaja yang
diperlukan oleh masyarakat etnik Melayu di zaman moden yang kian maju.
Sehubungan itu, selain
institusi pengajian tinggi seperti universiti, makmal-makmal untuk kaji selidik
dan penerokaan dalam ilmu dan teknologi baharu dan yang lebih canggih, juga
perlu dimanfaatkan kewujudannya oleh bangsa Melayu.
“Hari ini, makmal yang utama
ialah dalam bidang elektronik, terutama design microchip yang semakin lama
semakin tinggi kuasanya.
“Undang-undang Moores
mendakwa bahawa kuasa mikrocip akan berlipat sekali ganda setiap satu setengah
tahun.
“Dengan peningkatan kuasa
mikrocip ini, maka kegunaan dan kuasanya juga akan berlipat ganda, menjadi
lebih pantas dan lebih halus,” katanya.
Dr Mahathir percaya
seandainya bangsa Melayu sanggup melabur wang yang banyak dalam usaha kaji
selidik makmal seperti itu, mereka berkemungkinan besar dapat menyamai dan
mungkin mengatasi tamadun Eropah dan tamadun lain juga.
Dr Mahathir turut menekankan
tentang pentingnya bangsa Melayu meningkatkan kecekapan dalam bidang
pentadbiran dan pembangunan bangsa dan negara, selain mengembangkan budaya dan nilai hidup yang
sesuai dalam usaha membina sebuah tamadun bangsa yang tinggi.
“Sesuatu yang amat penting
untuk mendirikan tamadun yang tinggi ialah budaya dan nilai hidup yang dipegang dan diamal oleh
masyarakat berkenaan.
“Tidak ada puak atau etnik
yang boleh membangunkan tamadun yang tinggi jika nilai hidup mereka tidak
sesuai,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment