SEJUMLAH 337 penghuni
perumahan Taman Titingan di Tawau kelmarin memfailkan tuntutan saman berjumlah
RM100 juta terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jurunilai &
Perunding Hartanah Sabah (JPHS) atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan mayat
hampir reput dijumpai di dalam tangki simpanan perumahan berkenaan.
Penduduk yang diwakili
peguam Chong Kian Ming, memfailkan saman terhadap MPT sebagai defendan pertama
dan JPHS selaku defendan kedua di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau
kira-kira jam 2.45 petang.
Dalam pernyataan
tuntutannya, plaintif mendakwa pada 12 Mei 2012, selepas beberapa kali membuat
aduan sejak 30 April 2012 berhubung bau air paip tidak menyenangkan di
perumahan itu, seorang daripada pekerja defendan menjumpai mayat hampir reput
di dalam satu daripada tangki simpanan air perumahan itu.
Plaintif juga mendakwa sejak
20 April 2012, mereka menyedari perubahan bau air tidak menyenangkan yang
dibekalkan kepada mereka dari tangki simpanan berkenaan dan mereka telah
meminum serta menggunakan air dari tangki yang dicemari mayat hampir reput itu.
Menurut plaintif, penemuan
mayat hampir reput yang tidak diketahui identitinya dan bukan penghuni
perumahan itu di dalam satu daripada tangki simpanan perumahan Taman Titingan,
adalah disebabkan kecuaian defendan kedua yang merupakan ejen defendan pertama.
Plaintif mendakwa pihak
defendan telah melakukan enam kecuaian termasuk membiarkan tangki simpanan berkenaan
tidak dikawal sehingga memudahkan sesiapa sahaja memasukinya dan gagal
menghalang si mati daripada memasuki kawasan perumahan seterusnya masuk ke
dalam satu daripada tangki simpanan di situ.
Plaintif mendakwa pihak
defendan telah cuai sehingga gagal mengambil langkah berkesan bagi menghalang
sesiapa sahaja daripada memasuki kawasan tangki simpanan air perumahan itu.
Defendan juga didakwa cuai
dengan tidak mengambil langkah berkesan sama ada memeriksa dan menjalankan
ujian bagi memastikan tidak ada dan tidak akan ada risiko pencemaran apabila
plaintif membuat aduan kepada defendan kedua mengenai perubahan bau air
berkenaan.
Plaintif mendakwa disebabkan
kecuaian defendan berkenaan, mereka telah terminum air tercemar dalam tempoh
tertentu dan akibatnya mereka sangat tertekan.
Selain menuntut RM100 juta,
plantif juga menuntut supaya semua paip di dalam atau di luar rumah penghuni
serta kesemua tangki simpanan air perumahan berkenaan diganti dengan yang
baharu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment