Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Pemimpin
Pakatan Rakyat (PR) melabel bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz sebagai
agen kepada Barisan Nasional (BN) dan sudah tidak lagi mempunyai krebiliti
ekoran kelantangannya dalam media utama mengkritik bekas partinya dan pemimpin
PR lain.
Tunku Abdul Aziz, pada
Jumaat lalu, menyatakan rancangannya untuk menjelajah ke seluruh negara bagi
membuka minda rakyat, khususnya penyokong pembangkang supaya membuat keputusan
tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Ahli parlimen Cheras dan
juga pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai menyifatkan tindakan Tunku
Abdul Aziz seolah-olah dia kini mewakili BN tidak ubah seperti agen kepada
kerajaan untuk menyerang pemimpin DAP dan PR.
“Dia (Tunku Abdul Aziz) kini
seperti agen BN, hari-hari menyerang PR dan DAP. Saya sangat simpati dengan
dia. Kerana pengkhianatan dia itu, ramai orang sudah meninggalkan dan
menjauhkan diri daripadanya,” kata Kok Wai.
Kok Wai juga mengganggap
Tunku Abdul Aziz sebagai seorang yang lemah dan gagal dalam perjuangannya
kerana sudah tidak lagi mempunyai kredibiliti dan integriti.
Malahan, Kok Wai mendakwa
beberapa kenyataan Tunku Abdul Aziz berniat jahat dan tidak mempunyai sebarang
asas dan bukti kepada tuduhan yang dibuat terhadap DAP.
Manakala pemimpin PAS Dr
Dzulkefly Ahmad terkejut dengan kenyataan Tunku Abdul Aziz tersebut dan
mempertikaikan tindakan tersebut kerana mengganggap ia sebagai sia-sia.
Dr Dzulkefly juga membidas
sikap Tunku Abdul Aziz kerana bertindak seolah-olah seperti agen kepada BN
kerana sering mendapat liputan dalam akhbar dan kaca televisyen yang menjadi
dikuasai Umno dan BN.
“Ini satu tindakan yang
sia-sia dan sikap mengkhianati merupakan satu usaha sia-sia. Sepatutnya segala
perbezaan pendapat diuruskan dan diselesaikan dengan baik.
“Sikap ini seolah-olah dia
(Tunku Abdul Aziz) kini menjadi agen kepada BN. Kalau kita lihat dengan liputan
media kawalan Umno dan BN yang diberikan kepada dia, ia jelas membuktikan dia
kini seperti ajen BN seperti yang berlaku dengan Hasan Ali dan lain-lain,” kata
ahli parlimen Kuala Selangor itu.
Ahli parlimen DAP Anthony
Loke juga sependapat dengan mengganggap Tunku Abdul Aziz sudah tidak lagi
mempunyai kredibiliti dan sikapnya itu hanya menyebabkan orang ramai hilang
hormat kepadanya.
“Dia (Tunku Abdul Aziz)
sudah lagi tiada kredibiliti dan kata-katanya akan menyebabkan orang ramai
hilang hormat kepada dia,” kata kata ahli parlimen Rasah itu mengulas rancangan
Tunku Abdul Aziz.
Anthony juga berkata segala
dakwaan dan tuduhan yang dilontar tidak mempunyai bukti dan berasas dan yakin
rakyat sudah dapat menilai sendiri bekas pemimpin DAP tersebut.
Bagi Gobind Singh Deo pula,
dia berpendapat bahawa Tunku Abdul Aziz berhak dan bebas untuk melakukan apa
sahaja dan tindakannya itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada DAP.
“Saya rasa lebih baik
tumpukan kepada PRU dan biarkan rakyat yang menilai serta buat pilihan
sendiri,” kata ahli parlimen Puchong
itu.
Pada Mei lalu, Tunku Abdul
Aziz mengumumkan keluar dari DAP ekoran perbezaan pendirian dengan
pemimpin-pemimpin kanan parti tersebut.
Keputusan itu diumumkan
ekoran pandangan beliau tentang Himpunan Bersih 3.0 yang lalu.
Sejak daripada itu, Tunku
Abdul Aziz semakin lantang membuat kritikan ke atas PR khususnya DAP dalam
media yang dikawal oleh Umno dan BN sekaligus mengundang rasa kurang senang
dikalangan pemimpin PR. (TMI)
No comments:
Post a Comment