Saturday, 22 September 2012

PUDU SENTRAL KINI UTC KUALA LUMPUR






KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bangunan Pudu Sentral yang dahulunya dikenali sebagai Puduraya dan kini ditukar lagi menjadi Bangunan UTC Kuala Lumpur.

Bangunan empat tingkat itu yang merupakan UTC kedua di negara ini menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO).

Jun lepas, Najib melancarkan UTC pertama di Jalan Hang Tuah, Melaka yang menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

UTC adalah pusat sehenti yang diperkenalkan kerajaan untuk memudahkan masyarakat bandar mendapatkan akses kepada keperluan yang disediakan oleh agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung melalui Program Transformasi Bandar.

Menerusi UTC itu, warga kota boleh membuat pelbagai urusan seperti pembayaran zakat, cukai, urusan kad pengenalan selain menyediakan tempat rekreasi, seperti 'Wall Climbing', studio Aerobik dan gelanggang futsal.

Sempena majlis pelancaran itu Perdana Menteri turut melancarkan Kedai Buku 1Malaysia yang pertama yang terletak di tingkat 1, bangunan itu.

Lebih 10,000 orang membanjiri perkarangan bangunan Pudu Sentral bagi menyaksikan upacara pelancaran UTC itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment