BERJAYA....Jauteh
menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek.
Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
KOTA KINABALU: Sembilan
individu ditahan polis setelah didapati terlibat dalam sembilan kes pecah rumah
didalangi seorang bekas banduan yang arif meleraikan kunci mangga.
Kesemua suspek termasuk dua
wanita tempatan berusia 20 hingga 42 tahun itu telah ditahan dalam serbuan
berasingan baru-baru ini termasuk di Petagas, Menggatal dan Indah Permai pada
Sabtu lepas.
Menerusi tangkapan yang
turut membabitkan seorang suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun yang
dipercayai ketua kumpulan geng itu, polis akhirnya berjaya menyelesaikan
sembilan kes pecah rumah di sekitar Inanam dan Menggatal yang berleluasa sejak
Jun tahun lalu.
Difahamkan siasatan awal
mendapati dalang terbabit amat pakar membuka kunci mangga tidak sampai 15 saat
hanya ‘bersenjatakan’ pemutar skru atau ‘allen key’.
Ketua Polis Bandaraya Kota
Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata dalam serbuan berkenaan,
pihaknya telah merampas sebahagian besar barangan yang telah dicuri beranggaran
RM95,000.
“Antara yang dirampas ialah
15 telefon bimbit, 13 televisyen LCD, 19 utas jam tangan, 17 jenis barangan
kemas dan 13 komputer riba selain peralatan yang digunakan untuk tujuan jenayah
berkenaan termasuklah pemutar skru dan allen key,” katanya.
Menurut Jauteh, kumpulan itu
dipercayai mula ditubuhkan sekitar Jun tahun lalu ketika ketua kumpulan
terbabit keluar dari penjara.
“Kita mendapati kumpulan ini
bergiat aktif melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Inanam dan Menggatal
dengan mensasarkan rumah flat.
“Kebanyakan waktu mereka
melakukan pecah rumah adalah di sebelah siang hari di mana pada ketika itu
mangsa tidak berada di rumah kerana berkerja,” katanya.
Mengulas lanjut modus
operandi kumpulan terbabit, Jauteh menerangkan mereka akan memulakan ‘operasi’
dengan terlebih dahulu mengetuk pintu rumah mangsa dan sekiranya rumah itu
berpenghuni, mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum beredar.
“Jika tiada maklum balas,
barulah mereka memecah masuk kediaman itu dengan menggunakan kepakaran suspek
tadi membuka kunci rumah mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin.
Jelas Jauteh, kejayaan
tangkapan terbabit adalah ekoran laporan polis yang dilakukan pengadu sebelum
ini termasuk kali terakhir pada Jumaat lepas.
“Hasil siasatan, satu
serbuan dilakukan pada Sabtu lalu di sebuah bengkel di Kampung Peringatan,
Petagas kira-kira jam 12.15 tengah malam dan telah menahan lima individu
termasuk dua wanita.
“Selepas itu, dua lagi
serbuan berasingan dibuat pada hari yang sama di Taman Fajar, Menggatal dan
Indah Permai di sini kira-kira jam 8.30 malam. Dalam serbuan itu, empat lagi
suspek diberkas,” katanya.
Kemua suspek kini ditahan
untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
(UB)
No comments:
Post a Comment