SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim
Ismail Sultan Iskandar menyatakan kemurkaan baginda ke atas pembekalan
kelengkapan tidak bermutu kepada Pasukan Elit Kor Gerak Khas Angkatan Tentera.
Baginda bertitah,
kementerian pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan
bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya,
lapor akhbar hari ini.
Sultan Ibrahim Ismail juga
bertitah, lebih baik jika baginda sendiri mengambil alih kontrak berkenaan
sekiranya perkara itu berterusan.
"Sekiranya perkara ini
berterusan, yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak
Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan maka beta rasa lebih baik beta sahaja
yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut," titah baginda seperti
dipetik dalam laporan akhbar Kosmo Ahad.
Sementara itu, akhbar Utusan
Malaysia pula menyebut, baginda turut membangkitkan mengenai penglibatan bekas
jeneral dan pegawai tentera dalam perniagaan membekal peralatan tentera.
"Dalam usaha
melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, suka saya
ingatkan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan
peribadi.
"Tidak dinafikan ramai
bekas jeneral dan pegawai tentera yang telah bersara menceburi bidang
perniagaan sebagai pembekal peralatan ketenteraan.
"Namun suka saya
ingatkan, janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan
harga berlipat kali ganda," titahnya seperti dipetik akhbar itu.
Dalam majlis itu juga,
Sultan Ibrahim turut memberi amaran kepada golongan yang "menangguk di air
keruh" berhubung projek mega Mersing Laguna bernilai RM22 bilion yang
dirasmikannya sendiri pada April.
Titah baginda, projek
berkenaan kini dibatalkan memandangkan pemaju masih gagal meningkat modal
berbayar kepada RM200 juta dalam tempoh enam bulan.
"Negeri Johor memang
sentiasa pesat membangun dan sentiasa terbuka kepada pemaju yang betul-betul
komited, mempunyai kepakaran dan modal yang nyata.
"Sekiranya ada pihak
yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut
keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang
seperti ini di negeri Johor," titak baginda lagi seperti dipetik Utusan.
Baginda yang juga Kolonel
Komandan Pasukan Elit Rejimen Gerak Khas bertitah demikian semasa majlis ulang
tahun ke-47 pasukan itu di Kem Iskandar, Mersing, semalam. (MKINI)
No comments:
Post a Comment