Oleh : MD IZWAN
PETALING JAYA : Pengarah
Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini mendedahkan bukti terbaru pemindahan wang
haram melibatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil kepada Global Biofuture
Pte Ltd yang didakwa mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal (trading)
lembu.
Dalam sidang media di ibu
pejabat PKR, Rafizi mengemukakan satu transaksi Global Biofuture sebuah
syarikat broker berpusat di Singapura yang dikawal oleh keluarga Shahrizat yang
disyaki melakukan pemindahan wang bertentangan dengan fungsi dan tujuan Pusat
Fidlot Nasional (NFC).
Menerusi bukti dokumen
e-mel, cek dan invois yang didedahkan, Rafizi mendakwa wang NFC telah
dipindahkan secara haram kepada Global Biofuture melalui National Meat &
Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC), yang mana ia diluluskan oleh anak
Shahrizat, Wan Shahinur Izran Mohamed Salleh selaku Ketua Pegawai Eksekutif.
Rafizi juga mempersoalkan
tujuan pemindahan wang berjumlah US$990,402 (RM3,065,000) kepada Global
Biofuture, yang didakwanya langsung tiada kena mengena dengan NMLC atau NFC.
Bagi mengesahkan lagi
dakwaan tersebut, Rafizi mengemukakan satu invois bernombor V14/10 dari South
East Asian Livestock Services Pty Ltd (SEALS), yang berpusat di Darwin, kepada
Global Biofuture bagi menguatkan buktinya berlaku pemindahan tersebut.
Berdasarkan bukti-bukti
tersebut, Rafizi menggesa Bank Negara dan pihak berkuasa mengambil tindakan dan
menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar Akta Anti Pengubahan
Wang Haram (AMLA).
“Yang membayar invoisnya
adalah NMLC tetapi bukannya Global Biofuture. Perkara ini terang-terang
menyalahi undang-undang kerana ini bermakna NMLC sebenarnya telah membayar
invois satu syarikat lain dan pengarahnya perlu didakwa kerana membuat
pembayaran secara tidak sah walaupun syarikat itu dimiliki oleh orang yang
sama.
“Perkara ini jelas
menunjukkan ia telah melanggar Akta Syarikat dan berlakunya pemindahan secara
tidak sah, ini bermakna ia melanggar AMLA,” kata Rafizi.
Ekoran urusniaga yang
meragukan ini berlaku, Rafizi meminta penjelasan samaada keluarga Shahrizat
mengaut untung dua kali dalam pembelian lembu-lembu dari luar negara yang
dibekalkan kepada NFC, apakah Global Biofuture mengaut untung atas angin dengan
mengenakan margin apabila ia menjual pula lembu-lembu kepada NFC dan mengapakah
NFC tidak boleh membeli terus lembu-lembu tersebut dari pembekal tanpa melalui
orang tengah yang kebetulannya pula dimiliki keluarga Shahrizat.
Walaupun tidak memiliki
bukti untuk menunjukkan hubungan NFC dengan Global Biofuture secara langsung,
Rafizi tetap mencabar NFC untuk menafikan dakwaannya memandangkan banyak
keraguan di dalam transaksi yang berlaku melibatkan MNLC.
Berdasarkan bukti-bukti
tersebut, Rafizi menggesa Bank Negara dan pihak berkuasa mengambil tindakan dan
menyiasat keluarga Shahrizat atas kemungkinan melanggar Akta Anti Pengubahan
Wang Haram (AMLA).
Pengerusi NFC, Datuk Seri
Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Shahrizat menghadapi dua dakwaan
kes pecah amanah dan dua kes melanggar Akta Syarikat membabitkan wang melebihi
RM49 juta, kelmarin.
Dua pertuduhan pertama itu
adalah atas kesalahan menggunakan RM9,758,140 dana National Feedlot Corporation
(NFC) untuk membeli dua unit kondominium di Komplek One Menerung, di Bangsar,
pada 2 dan 4 Disember, 2009.
Kesalahan berikutnya pula
membabitkan pemindahan RM40 juta dana NFC kepada National Meat ands Livestock
Corporation dari 5 Mei hingga 16 Nov 2009.
Dalam kedua-dua kes, Mohamad
Salleh yang merupakan pengerusi eksekutif NFC didakwa menggunakan dana tanpa
kelulusan mesyuarat agung tahunan NFC.
Perkara ini menjadi suatu
kesalahan di bawah Seksyen 132 Akta Syarikat 1965.
No comments:
Post a Comment