KOTA KINABALU: Lembaga
Industri Getah Sabah (LIGS) menyangkal tuduhan Chua Men Nam daripada Persatuan
Pekebun Kecil Sabah bahawa harga getah di Sabah adalah yang paling rendah di
Malaysia.
Pengurus Besarnya Datuk
Harris Mathews berkata, harga getah di Sabah adalah lebih tinggi daripada di
Semenanjung, walaupun diambil kira jarak logistik sejauh 1,300 kilometer dari
Kota Kinabalu ke Pelabuhan Klang atau Singapura dimana getah harus diangkut
untuk dieksport.
“Sebagai perbandingan, harga
getah di Sabah dan Semenanjung pada 25 Mac ialah lateks RM7.80 sekilogram untuk
Sabah dan RM7.50 (Semenanjung), cuplumps rendah RM3.60 sekilogram bagi Sabah
dan RM3.10 (Semenanjung), cuplumps tinggi RM4.03 (Sabah) dan RM3.90
(Semenanjung).
“Harga terendah di Sabah
untuk cuplumps adalah 50 sen sekilogram, iaitu lebih tinggi daripada di
Semenanjung, manakala harga tertinggi adalah 13 sen sekilogram lebih tinggi
berbanding yang ditawarkan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan di
sini, kelmarin.
Harris berkata, LIGS
sentiasa membayar harga berpatutan untuk getah yang dibeli daripada para
pekebun kecil tertakluk kepada keadaan dan mutu getah.
“Tidak dapat dinafikan
bahawa kos di Sabah adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung disebabkan
kos tambahan perkapalan serta kekurangan kemudahan infrastruktur.
“Oleh itu Kerajaan Negeri
dalam usaha berterusan untuk membantu para pekebun kecil getah serta
mengurangkan perbezaan harga getah diantara Semenanjung dan Sabah telah memulakan
Skim Insentif Pengeluaran Getah sebanyak RM30 juta sejak Ogos 2012,” katanya.
Beliau berkata, skim itu
bertujuan meyamakan harga getah di Sabah dengan di Semenanjung.
Katanya, sejak tahun 2011,
LIGS menggalakkan para pekebun kecil untuk menghasilkan getah kentalan dan
bukan getah kepingan untuk mengatasi masalah variasi dalam kandungan getah
kering.
“Pada masa ini, 60 peratus
getah mentah yang dikeluarkan oleh pekebun kecil adalah dalam bentuk cumplumps
dan sasaran LIGS adalah untuk mencapai 90 peratus pengeluaran dalam bentuk
cuplumps,” katanya.
Mengenai ses getah mentah
yang dibangkitkan oleh Chua, LIGS menjelaskan bahawa ses getah mentah adalah
satu ses pencegah dan tidak ada pengaruh terhadap harga getah yang ditawarkan
oleh LIGS.
Katanya, tujuan ses itu
adalah untuk memastikan semua getah yang dikeluarkan di Sabah diproses dalam
negeri ini dan untuk menampung keperluan tiga kilang getah tempatan yang
memberikan pekerjaan kepada hampir 300 penduduk tempatan.
Beliau berkata, Kerajaan
Negeri tidak melarang getah mentah dibawa keluar dari Sabah jika ses getah
mentah dibayar.
“Ini adalah kerana para
pekebun kecil getah telah diberikan bantuan oleh kerajaan sebanyak RM14,000 se
hektar untuk membersihkan, menanam dan menyelenggara kebun mereka selama lima
tahun termasuk pembekalan baja, kimia dan pembinaan jalan-jalan pertanian.
“LIGS pula menguruskan
kawasan yang telah ditanam sehingga pokok-pokok getah sudah matang untuk
ditoreh,” katanya.
Di samping itu katanya, LIGS
juga memberikan latihan dan membekalkan peralatan menoreh seperti mangkuk,
pancuran, dawai pengikat, pisau menoreh serta penyelenggaraan jalan sebagai
tanggung jawab sosial korporat.
“Penyebaran tuduhan palsu
oleh Chua Men Nam yang berniat jahat adalah untuk menghasut para pekebun kecil
menentang Kerajaan Negeri dan LIGS untuk tujuan persendirian,” kata Harris.
Beliau berkata, usaha
sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini tidak pernah berjumpa dengan
pengurusan baru LIGS sekalipun untuk membincangkan atau mendapatkan keterangan
berkenaan isu-isu pekebun kecil.
Sebenarnya, hanya Persatuan
Pekebun Kecil Bumiputra Sabah yang dipimpin oleh Modily Bangali yang telah
mengadakan perjumpaan dengan LIGS dan isu-isu yang dibangkitkan telah
diterangkan dan dijelaskan kepada mereka.
“Jika Chu jujur dan
benar-benar mahu menjaga kepentingan ahlinya, dia sepatutnya datang berjumpa
dengan pengurusan LIGS dan bukan sebaliknya membuat kenyataan palsu untuk
merosakan industri getah negeri. LIGS menegaskan sekali lagi kepentingan para
pekebun kecil getah adalah tumpuan utamanya. LIGS akan sentiasa memastikan
kebajikan serta kepentingan pekebun kecil getah dijaga,” katanya.
Harris berkata, objektif
LIGS adalah untuk menjadikan para pekebun kecil getah di Sabah sebagai golongan
pendapatan tinggi dalam ekonomi luar bandar.
“Pada tahun 2012, pendapatan
purata bagi peneroka di Tenom adalah sebanyak RM1,797 sebulan, di Kanibongan,
pitas purata pendapatan adalah sebanyak RM1,150 sebulan manakala di Keningau
purta pendapatan adalah sebanyak RM3,770 sebulan.
“Kerajaan negeri melalui
LIGS berjaya menghapuskan kemiskinan diantara para peneroka dan mengurangkan
kadar kemiskinan secara signifikan dikalangan para pekebun kecil,” katanya.(st)
No comments:
Post a Comment