BUKTI....Anggota
Keselamatan yang cedera dalam OP DAULAT turut diundang ke Majlis Sambutan
Peringatan Hari Polis ke 206 ini.
PUTRAJAYA: Inspektor Mohamad
Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan
kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal
Mac lalu, dan hari ini, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat
juangnya luntur demi negara.
“Cuma sedikit terkilan
dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya
sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan
perkara main-main.
“Kami berjuang demi bangsa
dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke
sana dan lihatlah sendiri,” katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan
perwira ‘Operasi Daulat’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan di sini.
Mohamad Hasnal, 31, berkata,
beliau ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali
di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di
Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira jam 7.30 malam, 2 Mac lalu.
“Selepas terkena tembakan
itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang,
mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.
“Dalam keadaan berlumuran
darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan
berhampiran tempat pertempuran,” katanya yang ketika itu merasakan detik
kematian begitu hampir.
Beliau bersembunyi di rumah
itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang
lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.
“Rakan-rakan lain juga
banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan
semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum,
yang ada hanya air hujan,” katanya.
Malam dirasakan terlalu
panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya
dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.
Dalam keadaan parah, beliau
masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada
keesokan pagi.
“Saya perlu tutup telefon
sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi
isteri petangnya.
“Rakan-rakan hanya dapat
menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi
pergerakan musuh,” katanya.
Bantuan tiba kira-kira jam
5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk
rawatan dan pembedahan.
Dua hari kemudian beliau
sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.
Anak kelahiran, FELDA Teloi
Timur, Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya
untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam
tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.
Mohamad Hasnal hadir bersama
balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad
Datu dan Semporna pada majlis itu. Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu
pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.
Beberapa orang lagi cedera
dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad
Datu. Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi
Operasi Daulat itu.
Suasana pilu turut dirasakan
pada majlis itu, apabila syair bertajuk “Ayahku Seorang Perwira” hasil nukilan
Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh
Tengku Khalidah Tengku Bidin. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment