Oleh : PEJUANG SEJATI MAYA
PEMBANGKANG Malaysia
terkenal dengan bermacam-macam jenis ‘pakar’. Dari ‘pakar’ agama, ‘pakar’
ekonomi sehinggalah ke ‘pakar’ peperangan. Malangnya, ‘pakar-pakar’ mereka
seringkali berbuat kenyataan yang kelakar.
Misalnya, ketika mengulas
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang lalu, PR telah mengemukakan kenyataan dari
‘pakar matematik’ yang menganggarkan peserta seramai 700,000 orang di dalam
stadium berkapasiti 30,000 orang termasuk kawasan sekitar yang merangkumi
jalanraya sejauh lebih kurang 1.5km.
Kenyataan ‘pakar’ tersebut
telah menjadi bahan lawak jenaka kerana tidak masuk akal, tambahan pula apabila
gambar-gambar yang disiarkan pihak PR dibuktikan sebagai telah diedit.
Kini, sekali lagi PR
menampilkan ‘pakar’ iaitu pakar perlembagaan, Prof. Aziz Bari yang menyatakan tentang
isu kerajaan sementara. Beliau mengulas mengenai isu terbubarnya DUN Negeri
Sembilan semalam, sebagai menyebabkan negeri itu kini diperintah oleh kerajaan
haram.
Kita tidak faham kenapa isu
pembubaran DUN secara automatik dan juga kerajaan sementara perlu dijadikan
modal politik oleh PR. Entah apa agaknya
yang diharapkan oleh PR dengan membangkitkan soal haram atau tidaknya kerajaan
negeri apabila DUN telah terbubar.
Kalaupun DUN terbubar dan
kerajaan sementara dianggap haram ia tetap tidak memberi mereka hak untuk
mengangkat diri sendiri sebagai kerajaan negeri.
Sebenarnya, tidak ada
istilah ‘kerajaan haram’ setelah DUN terbubar.
Kerajaan hanya menjadi haram apabila dilantik secara tidak sah,
antaranya dengan cara menggulingkan kerajaan sedia ada melalui jalan belakang,
tanpa melalui proses undang-undang dan melantik diri sendiri sebagai ketua
negara.
Cara inilah yang cuba
dilakukan oleh pihak PR berkali-kali melalui demonstrasi jalanan dengan
percubaan membangkitkan semangat ‘Arab Spring’.
Mengikut lunas yang
diiktiraf dan diterimapakai di peringkat antarabangsa, ‘kerajaan sementara’
atau ‘caretake government’ adalah amalan atau konvensyen di negara-negara yang
mengamalkan Common Law. Ia diamalkan di Britain sebagai sebuah negara demokrasi
berparlimen yang menjadi rujukan bagi
Negara-Negara Komanwel.
Justeru, istilah kerajaan sementara sememangnya wujud
iaitu di dalam tempoh antara pembubaran sehingga terbentuk kabinet baru, maka
urusan pentadbiran waktu itu adalah di bawah tanggungjawab kerajaan
sementara.
Kerajaan sementara bukannya
dilantik sesuka hati tetapi telah melalui proses perlantikan mengikut
perlembagaan juga, iaitu melalui pilihanraya yang lepas. Tanpa kerajaan sementara, bagaimana negeri
atau negara boleh berfungsi dan berada di dalam keadaan terkawal di antara
tempoh tersebut?
Apakah kerana terlalu sangat
menginginkan suasana huru-hara maka PR mengharapkan agar di dalam tempoh ini,
kerajaan dianggap ‘tidak ada’ agar mereka boleh berbuat apa sahaja kerana tiada
siapa yang berkuasa untuk menghalang mereka?
Apakah Prof. Aziz Bari
berharap selepas terbubar maka, tentera
dan polis semua ‘meletakkan senjata’, ‘rehatkan diri’ atau ‘keluar baris’ agar 'beruk-beruk'
tukang demo pembangkang boleh bermaharajalela kerana tiada kerajaan yang
berkuasa?
Tentulah tidak masuk akal
untuk membiarkan negara berada dalam keadaan tanpa pemerintah walaupun untuk
seketika cuma. Kerana itulah kewujudan
kerajaan sementara adalah penting.
Namun, selain dari memikul
tanggungjawab memastikan negara atau negeri terkawal termasuk memastikan apa
yang telah diluluskan sebelum ini diteruskan, termasuk urusan pentadbiran rutin
seperti gaji penjawat awam, kerajaan sementara tidak boleh sama sekali membuat
perubahan seperti mengumumkan dasar-dasar baru atau meluluskan perbelanjaan
bagi projek baru mahupun membatalkan apa-apa keputusan yang telah dibuat
sebelum itu.
Dalam tempoh ini juga
biasanya tiada dibuat pelantikan baru bagi mana-mana segmen kerajaan, misalnya
terhadap para hakim, ketua-ketua jabatan dan institusi lain.
Apa yang lebih penting untuk
diberi perhatian ialah kuasa substantif Parlimen adalah terhenti setelah
terbubar, maka semua pihak wajar berwaspada bagi mengelak dari menyalahi Akta
Pilihanraya 1954 dan peruntukan Akta 1954 dari segi membantu atau mempengaruhi
calon-calon yang bakal bertanding dalam Pilihanraya nanti.
Secara ringkasnya, kerajaan
sementara adalah sesuatu yang perlu, dan tindakan PR menganggap kerajaan
sementara adalah kerajaan haram hanyalah tindakan orang yang kehabisan modal
politik kalaupun tidak tindakan orang yang teringin sangat untuk membuat
huru-hara.
Jelaslah, tidak ada isu
langsung mengenai Kerajaan Sementara sepertimana yang Prof. Aziz Bari
‘gusarkan’. Mungkin beliau telah
tertinggal kelas agaknya ketika bab ‘kerajaan sementara’ diajar dahulu.
No comments:
Post a Comment