JOHOR BAHARU : Siasatan
dalaman Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) menyimpulkan bahawa terdapat
kemungkinan kumpulan menggelar diri mereka sebagai kesultanan Sulu mendapat
'bantuan dan sokongan' pihak tidak dikenal pasti untuk melakukan pencerobohan
ke atas Sabah.
Pengerusi MNLF, Muslimin
Sema berkata kesimpulan itu berpunca daripada maklumat bahawa kesultanan itu
tidak mempunyai keupayaan dan sumber pendapatan untuk melaksanakan operasi
ketenteraan yang begitu nekad.
"Kami menyimpulkan
terdapat kemungkinan satu bentuk jaminan atau bantuan yang diberi kepada
kesultanan Sulu bagi menjalankan ekspedisi (ketenteraan) ke atas Sabah (di
Lahad Datu dan Semporna).
"Kesultanan Sulu tidak
mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pencerobohan ke atas Sabah tanpa
(mendapat) jaminan daripada 'pihak' tertentu," katanya kepada Bernama
menerusi telefon dari Cotabato City, Mindanao, di selatan Filipina, Rabu.
Ditanya mengenai identiti
orang yang mungkin membantu kesultanan Sulu itu dalam pencerobohan ke atas
Sabah, Muslimin berkata siasatan mereka tidak mendedahkan sebarang 'nama atau
wajah'.
Sebulan lepas, kumpulan yang
menggelar diri mereka kesultanan Sulu, menghantar kumpulan bersenjata diketuai
Azzimudie Kiram ke Kampung Tanduo, Lahad Datu, untuk menuntut Sabah sebagai
warisan nenek moyang mereka.
Tindakan mereka mencetuskan
pertempuran bersenjata dengan pasukan keselamatan Malaysia yang mengepung
kumpulan itu sebelum melancarkan operasi serangan ofensif dari udara dan darat
untuk memaksa mereka berundur setelah melepasi beberapa tarikh akhir untuk
mereka meletak senjata.
'Operasi Daulat' yang masih
diteruskan itu sehingga kini menyaksikan 63 pengganas bersenjata dibunuh dan 10
anggota keselamatan terkorban.
Media Filipina dan pegawai
risikan republik itu mendakwa pengganas itu 'dijemput' ke Sabah oleh pemimpin
yang bekerjasama rapat dengan parti pembangkang tertentu Malaysia.
Ditanya sama ada kumpulan
yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Sulu (RSF) yang didakwa mengetuai
pencerobohan ke atas Sabah wujud sebelum ini, Muslimin berkata beliau tidak
pernah mendengar tentang RSF sebelum berlakunya insiden di Sabah itu.
"Inilah kali pertama
saya mendengar tentang tentera (RSF) ini," katanya.
Muslimin berkata siasatan
dalaman dijalankan oleh setiausaha agung MNLF, yang pergi ke Tawi-Tawi dan Sulu
minggu lepas bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai dakwaan pembabitan
anggota pasukan tetap dan bukan tetapnya dalam insiden pencerobohan di Sabah.
Siasatan itu mendapati
anggota pasukan tetap dan bukan tetap MNLF yang terbabit dalam pencerobohan
itu, kata Muslimin, yang juga naib datuk bandar Cotabato City.
"Sebahagian besar
pejuang kami di Tawi-Tawi telah bersara dan menyertai pertubuhan politik,
manakala pejuang kami di Sulu pula di bawah kuasa pemerintahan Ustaz Khabier
Malik," katanya.
Muslimin, yang juga diminta
mengulas kenyataan Nur Misuari bahawa beliau masih pemimpin MNLF, berkata
jawatankuasa pusat MNLF memutuskan pada 2008 untuk memilih beliau (Muslimin)
sebagai pengerusi barisan berkenaan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment