Thursday 28 March 2013

MASYARAKAT PERLU KETAHUI BAHAYA DADAH






SAMPAIKAN.....Azizah menyampaikan sijil kepada wakil peserta Program Damai di Menumbok, Kuala Penyu.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

MENUMBOK: Masyarakat disaran mendalami pengetahuan mengenai bahaya dadah bagi memudahkan pemantauan dan dapat mengesan anasir penyalahangunaan dadah khususnya dikalangan keluarga terdekat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun ketika menyatakan perkara itu berkata adalah menjadi tanggungjawab semua masyarakat untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah di negara ini.

“Permasalahan dadah bukan sahaja perlu dilihat daripada segi jumlah mereka yang terlibat tetapi juga sejauh mana kita mempunyai pengetahuan tentang bahaya dadah kerana tanpa sedar atau tidak kita dikelilingi oleh masalah dadah setiap hari. Tanpa pengetahuan berkaitan tentang bahayan dadah saya khuatir kita tidak dapat mengesan penglibatan anak remaja atau sanak saudara kita sendiri.

“Kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan masalah dadah membelenggu masyarakat kita. Kita perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk memantau gejala ini serta melaporkan segala masalah berkaitan dengannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut mengingati pemimpin dan masyarakat agar mengambil langkah bijak dan berhemah untuk mendekati mereka yang terjebak dengan musuh utama negara itu.

“Untuk mendekati kumpulan sasar kita tidak seharusnya pula memandang mereka itu terlalu hina. Dekati mereka, fahami masalah dan kehendak yang tersirat serta nesihatilah dengan baik kerana tutur budi yang murni itu boleh melembutkan hati manusia,” katanya

Azizah berkata demikian ketika merasmikan Program Damai anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Negeri Sabah dengan kerjasama Pemadan Daerah Kecil Menumbok, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing, Mantan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Nurnikman Abdullah, Pengerusi BHEWP, Datuk Surinam Sadikun, Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok, Awg Tajudin Pg Bahar, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Mohd Fadzle Lee Abdullah

Program yang disertai 220 penduduk itu diisi dengan sesi ceramah dan pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan.

Pengerusi Pemadam Negeri Sabah itu seterusnya berkata masyarakat perlu peka terhadap transformasi kerajaan dalam usaha menangani gejala dadah seperti kewujudan dua Klinik Cure And Care yang disalurkan melalui AADK yang kini berpusat di CCRC Papar dan di Daerah Keningau.

“Hal ini amat perlu diketahui oleh masyarakat yang mana semua anggota masyarakat berpeluang untuk menerima rawatan, perubatan dan pemulihan secara sukarela. Menerusi penubuhan klinik ini juga, ianya secara tidak langsung akan menjadikan masyarakat sebagai agen penyalur maklumat kepada semua golongan dalam menyebarluas maklumat-maklumat terkini dalam aspek pencegahan, rawatan, perubatan dan juga pemulihan dadah,” katanya.

Pada majlis itu Azizah yang juga Adun Klias menerima cenderamata daripada Kelab Sukan Kembara Menumbok.

Sementara itu gabungan persatuan-persatuan belia Beaufort dan Menumbok turut mnyerahkan tabung perwira Lahad Datu kepada Azizah.

No comments:

Post a Comment