Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
WANITA Umno akan menubuhkan
satu pasukan gerakan bagi menghadapi huru-hara yang didakwa akan dicetuskan
oleh pihak pembangkang.
Ketuanya, Datuk Seri
Shahrizat Abd Jalil mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperoleh, huru-hara
itu dilakukan bertujuan untuk menakutkan orang ramai agar tidak keluar mengundi
pada pilihan raya umum akan datang.
"Oleh kerana
pembangkang takut dengan BN, maka mereka telah buat perancangan tetapi sudah
dibongkar oleh media. Pada hari nak mengundi nanti, mereka (pembangkang) akan
wujudkan keadaan huru-hara supaya penyokong BN takut untuk keluar mengundi.
"Jadi Wanita menubuhkan
Task Force bagi memberitahu pengundi supaya keluar secara aman pada hari
mengundi. Dan (pasukan) ini akan ada di semua peti undi," dakwanya.
Beliau berkata demikian
dalam ucapan perasmian semasa merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN)
bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik sempena Hari Polis ke-206 hari ini di
ibu negara.
Pada 13 Mac lalu, Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa daripada maklumat
beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk
menggagalkan PRU 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar
dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat.
Muhyiddin bagaimanapun masih
enggan mendedahkan maklumat dokumen yang didakwanya itu.
Sehubungan itu, ketika
ditanya adakah huru-hara yang dimaksudkannya adalah perkara sama yang disebut
Muhyiddin, Shahrizat berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu
daripada media dan "cakap-cakap ahli pembangkang".
"Media dan kita (Wanita
Umno) adalah mata dan telinga rakyat di peringkat akar umbi. Oleh kerana rakyat
sokong Datuk Seri Najib (Razak) dan BN maka pembangkang takut. Kita dapat tahu
ini pun dari cakap-cakap ahli mereka juga. Dan bila media lapor, jadi kita tau
ini akan berlaku.
"Kita Wanita tidak
gentar. Kita akan jadi benteng. Dan pengundi mesti tahu bahawa ini kerja
pembangkang yang nak bawa unsur-unsur ganas dan reformasi semasa hari membuang
undi dan mereka akan mula dari awal," katanya lagi. (MKINI)
No comments:
Post a Comment