LENCANA
PKR.......kelihatan Mohd Najlin Haji Awang Puasa (tengah) sedang disematkan
lencana PKR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Kanan) sambil disaksikan oleh Haji
Ghulabdin Enjih (kiri).
Oleh: KREW SABAHKINI.NET
TUARAN : Di saat-saat
terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, Barisan Nasional (BN) dan UMNO di
Tuaran termasuklah di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman kian tergugat
dengan kemaraan Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak
akhir-akhir ini di kawasan berkenaan.
Majlis Malam Jelajah Pakatan
Harapan Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tuaran yang dihadiri
oleh hampir 5,000 orang penyokong parti itu sebagai bukti setelah menerima
kemasukan 600 ahli baharu dari kalangan anak muda yang diketuai oleh Mohd
Najlin Haji Awang Puasa, 28 tahun.
Ketua Umum PKR Pusat, Datuk
Seri Anwar Ibrahim telah menerima borang penyertaan kemasukan dalam PKR Tuaran
di Majlis Jelajah PR yang berlangsung di Restaurant Transit Dalit, Kampung Lok
Batik dekat sini pada malam Ahad lepas.
Majlis itu turut dihadiri
oleh Ketua Cabang PKR Tuaran, Haji Ansari Abdullah; Pengerusi Perhubungan PKR
Sabah, Ahmad Tamrin Haji Jaini; Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS), Datuk
Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran; Pengerusi
Pertubuhan Pakatan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin; Bekas
Ketua Penerangan UMNO Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih; Bekas Panglima Angkatan
Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B); Dato Abdul Ghafir Abdul Hamid dan
Bekas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow.
"Penyertaan 600
ahli-ahli baharu yang sebilangan besarnya dari kalangan pemuda di Kawasan
Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sulaman dan Parlimen Tuaran akan menambah
kekuatan kepada Pakatan Rakyat dalam usaha untuk memenangi Kawasan DUN Sulaman
dan Parlimen Tuaran dalam Pilihanraya Umum ke 13 tidak lama lagi," Kata
Najlin yang juga merupakan bekas Ahli UMNO dari Cawangan Wawasan Lok Batik
Tuaran.
Katanya, kemasukan ini
haruslah disambut dan diterima oleh pimpinan PKR di Cabang Tuaran agar semangat
dan kebangkitan anak-anak muda akan memberikan satu lagi kekuatan kepada
Pakatan Rakyat dalam membuat persiapan menghadapi pilihanraya umum tidak lama
lagi.
"Banyak sudah pemimpin
UMNO yang telah berhijrah meninggalkan parti yang jelas sudah tidak relevan
lagi. Jika perjuangannya untuk anak-anak muda sudah tidak relevan, apa lagi
yang ditunggu? Lebih baik mereka tampil untuk memberikan kekuatan kepada PKR
adan Pakatan Rakyat khasnya," kata Najlin lagi.
Sehubungan dengan
perkembangan terbaru ini, Najrin berharap lebih ramai lagi ahli parti kerajaan
yang akan menyertai PKR untuk memberikan satu keyakinan jitu terhadap
kemantapan parti ini.
Majlis Malam Jelajah Pakatan
Harapan Rakyat telah diisikan dengan ucapan oleh Datuk Seri Anwar, Ketua
Caabang PKR Tuaran Haji Ansari Abdullah; Bekas Panglima Angkatan Tentera Darat
Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Dato Abdul Gafir Abdul Hamid; Naib Pengerusi DAP
Sabah, Peter Liew; Aktivis Politik, Dr Chong Eng Leong dan Bekas Ketua
Penerangan UMNO Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih.
No comments:
Post a Comment