Friday 29 March 2013

BN JUGA TIDAK SABAR TUNGGU PRU-13






Oleh: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata strategi politik kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya melemahkan pembangkang yang tidak sabar menunggu pengumuman parlimen untuk dibubarkan.

Menurut beliau, biar pun tempoh parlimen hanya terbubar apabila genap pada 28 April tetapi memberikan kelebihan kepada BN kerana pembangkang dilihat semakin bercelaru gara-gara menunggu pembubaran.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang tidak matang dalam strategi politik mereka apabila mudah terperangkap sehingga mengeluarkan manifesto dengan beranggapan bahawa parti pemerintah akan membubarkan parlimen terlebih awal.

Katanya, baru-baru ini pula pembangkang dikatakan tidak mahu menjalin kerjasama dengan salah sebuah parti tempatan di Sabah yang sekali gus menunjukkan sikap sebenar kepimpinan pembangkang yang tidak sehaluan.

"Saya berpendapat lebih panjang tempoh parlimen yang belum lagi dibubarkan tentunya memberi kelebihan kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan BN untuk menambah lagi kekuatanya.

"Ini kerana, saya mendapati strategi politik kita ternyata berkesan apabila dapat memerangkap pembangkang yang semakin hari semakin bercelaru menunggu bila agaknya parlimen dibubarkan.

"Pada saya, kerajaan pembangkang yang memerintah beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berhak untuk membubarkan DUN masing-masing tidak payah lagi menunggu parlimen yang terbubar sendiri bila genap tempohnya itu.

"Jadi, tidak timbul sama sekali isu kononnya kerajaan BN bimbang atau takut untuk membubarkan parlimen. Ia satu dakwaan yang tidak berasas," jelasnya  kepada Sabahkini.net  semasa sidang akhbar di pejabat Parlimen P.186 Sandakan, di sini, kelmarin.

V.K.Liew, yang juga Presiden Liberal Demokratik Parti (LDP) berkata kesan daripada pendekatan strategik kerajaan BN akan melemahkan pembangkang yang sudah awal-awal lagi mengumumkan manifesto mereka.

Malahan, tambahnya, di kalangan parti-parti pembangkang ini ada antaranya mengumumkan manifesto pada tahun lepas seolah-olah meramalkan parlimen akan dibubarkan pada ketika itu.

"Nampaknya, mudah sekali mereka terperangkap hanya disebabkan menunggu pengumuman pembubaran, saya yakin dan percaya perkembangan ini telah memihak kepada kita untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti," tegasnya.

Ahli Parlimen Sandakan itu sekali lagi meminta rakyat memberikan sokongan padu terhadap BN demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di negara ini.

Menurutnya, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan mana-mana parti pembangkang memandangkan apa jua janji-janji mereka adalah kosong belaka.

"Niat untuk berkhidmat kepada rakyat tidak ada, kita mengambil contoh beberapa wakil rakyat pembangkang di Semenanjung yang sudah diberikan mandat sejak sekian lama tetapi secara tiba-tiba berhijrah pula ke kawasan lain.

"Maknanya, mereka suka-suka serta tidak ada halatuju dalam membela nasib rakyat. Yang rugi adalah rakyat sendiri terutama bagi yang pernah mengundi calon-calon pembangkang berkenaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment