TINDAK......Kenapa Ketua Kampung, Hj Mahmood Mallang (berkopiah) tidak bertindak melaporkan segera kepada Pasukan Keselamatan berhubung kehadiran 'Tentera' Syaitan Sulu sebaik sahaja mendapat maklumat orang awam berhubung insiden Tanduo?
LAHAD DATU: Kerisauan
beberapa penduduk Kampung Tanjung Labian dengan kehadiran sekumpulan ‘orang
asing’ yang mendirikan rumah secara haram di pinggir hutan berhampiran nyata
berasas.
Tindakan mereka melaporkan
kehadiran ‘orang asing’ itu kepada ketua kampung Mahmud Mallang, 72, pada 27
Feb lepas, bagaimanapun ditempelak sesetengah penduduk yang kononnya tidak mahu
berprasangka buruk.
“Lihat apa yang telah
terjadi sekarang. Ternyata apa yang saya dan rakan-rakan risaukan sebelum ini
ada asasnya. Keamanan kami dirampas malah ada rakan memberitahu rumah mereka
dibakar pengganas militan.
“Kalau dahulu kita semua
bersatu hati melaporkan kepada pihak berkuasa, sudah tentu keadaan tidak akan
jadi seperti ini,” kata Idris Abdul Kahal, 49, dalam nada kesal kepada Bernama,
di sini.
Mengimbau kembali kejadian
serangan militan pada 1 Mac lepas, Idris yang melarikan diri dalam keadaan
sehelai sepinggang, berkata mereka dipaksa pengganas supaya segera meninggalkan
kampung itu.
“Mereka bercakap dalam
bahasa Suluk meminta semua orang kampung lari dengan segera jika tidak mahu
diapa-apakan. Saya hanya sempat mengambil dokumen peribadi dan melarikan diri
bersama penduduk kampung lain ke dalam ladang kelapa sawit.
“Suara pengganas sangat
parau menyebabkan kami takut mendengarnya. Waktu melarikan diri, kami juga
tidak tahu ke mana kami hendak lari dan hanya berserah kepada Allah dan lepas
empat jam berjalan, kami tiba di Lok Buani,” katanya.
Idris yang kini ditempatkan
di Dewan Fajar Harapan, sebuah pusat penempatan sementara, berkata ekoran
serangan pengganas militan itu, anak keduanya berumur 8 tahun, sering meracau
dalam tidur berkemungkinan gangguan emosi.
Katanya keadaan anaknya kini
semakin pulih setelah melalui proses pemulihan yang dianjur Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan dua anaknya yang berada di
tingkatan dua dan lima masih enggan ke sekolah kerana takut.
“Perkara ini sangat
menyusahkan dan saya rasa seperti tidak mahu balik lagi ke Tanjung Labian
kerana saya takut jika pengganas akan kembali semula,” katanya yang
menganggarkan mengalami kerugian hasil tanaman sawit, ternakan dan buah-buahan
kira-kira RM10,000.
Penduduk Tanjung Labian
keseluruhannya 3,500 orang merupakan antara penduduk yang dipindahkan selepas
kampung itu diklasifikasi sebagai zon merah dalam Operasi Daulat susulan
pencerobohan militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, sejak 12 Feb lepas.
Halimah Naukan, 48, pula
berkata beliau dimaklumkan rakan bahawa rumahnya yang berdekatan Tanjung Batu
dibakar pengganas militan itu.
“Saya amat marah dan kecewa.
Mereka (pengganas) ini semua bersifat binatang, langsung tidak memikirkan
bagaimana kami mahu hidup semula selepas ini, tiada apa lagi yang tinggal untuk
kami.
“Saya dengar haiwan ternakan
pun mereka ambil. Mereka langsung tiada belas kasihan dan sepatutnya mereka ini
mati. Inilah hukuman yang patut mereka terima,” katanya sambil menitiskan air
mata. (NST)
No comments:
Post a Comment