LAHAD DATU : Pasukan
keselamatan memutuskan untuk menutup Kampung Tanduo yang menjadi lokasi
pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu.
Pesuruhjaya Polis Sabah
Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat
pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan
diputuskan kemudian.
Beliau berkata keputusan itu
dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas
sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang
dilancarkan 5 Mac lepas.
"Setakat ini, itu yang
kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di
peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang
jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti
kemudian," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16,
dekat sini Rabu.
Beliau berkata penempatan
semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan
Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan
Felda Sahabat.
Hamza turut memaklumkan
bahawa kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan
pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah
Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses
membenarkan penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing.
Beliau berkata proses
penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian
sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan yakin proses itu mampu diselesaikan
segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau
sebaliknya.
Terdahulu, Hamza berkata
pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah
parang yang ditinggalkan militan selepas berlaku pertempuran di kawasan Sungai
Bilis, Gugusan Labian pagi Rabu.
Beliau berkata kejadian pada
7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi
pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang
bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.
"Pengganas kemudian
melarikan diri apabila diserang balas. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan
di kedua-dua pihak, katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment