Wednesday 3 November 2010

BN TETAP MENANG TETAPI MAJORITI BERKURANG

VICTORY.... Linda menunjukkan lambang V iaitu 'Victory' atau kemenangan dengan sokongan para pengundi Batu Sapi.

Oleh : NEWMOND TIBIN & ALAN TING (BERNAMA)

PENGUNDI di Batu Sapi akan melaksanakan tanggungjawab mereka Khamis ini dalam pilihan raya kecil yang dijangka memberi kemenangan dengan majoriti yang kurang kepada calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen, sekali gus membolehkan gagasan pemerintah mengekalkan kerusi berkenaan.

Kebanyakan penganalisis politik meramalkan bahawa melainkan berlaku halangan di saat akhir, Tsen, yang kematian suaminya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober, hampir pasti memperoleh tiket ke Parlimen untuk meneruskan tugas mendiang suaminya yang belum selesai, sungguhpun ada yang melihat persaingan itu amat sengit dan ada di antaranya malah berpendapat bahawa pembangkang masih berupaya melakukan upset.

Chong memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum 2008 setelah memperoleh 9,479 undi dalam pertarungan satu lawan satu dengan calon bebas Dr Chung Kong Wing yang meraih 5,771 undi.

Kawasan pilihan raya Parlimen Batu Sapi, yang mengandungi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Karamunting dan Sekong, mempunyai 25,582 pengundi. Daripada jumlah itu 15,099 atau 59.02 peratus adalah Bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus Bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus Cina dan 57 atau 0.22 peratus lain-lain.

Penganalisis politik memberi kelebihan kepada Tsen berbanding lawannya Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Ketua Parti Keadilan Tuaran Ansari Abdullah, bersandarkan kepada sokongan padu daripada pengundi Bumiputera Islam dan peningkatan sokongan daripada pengundi Cina di Batu Sapi.

Bagaimanapun, pegawai parti yang bertanding dalam pilihan raya itu memberi penilaian berbeza yang memihak kepada parti masing-masing.

Mereka meletakkan penilaian masing-masing berdasarkan jangkaan jumlah yang keluar mengundi antara 65 dan 70 peratus, situasi yang serupa dalam pilihan raya umum lepas apabila kira-kira 11,000 pengundi mengambil bahagian dalam pilihan raya Parlimen bagi kerusi berkenaan.

Di atas kertas, BN melihat potensi untuk memperoleh sehingga 5,500 undi termasuk lebih 1,500 undi pos daripada anggota tentera, 1,000 pengundi Cina dan 3,000 pengundi Bumiputera yang tinggal dalam kawasan pilihan raya itu, sebahagian besarnya di kampung air dan kampung di pulau sekitarnya.

Jentera pilihan raya BN dikatakan telah menempatkan sekurang-kurangnya 3,000 daripada 5,000 pengundi Bumiputera Islam ini dan secara agresif mencari baki 2,000 pengundi yang berada dalam daftar pemilih, oleh itu memberi keyakinan untuk mereka memenangi lebih 60 peratus undi daripada Bumiputera Islam.

Golongan ini adalah kaum Suluk, Bajau, Orang Sungai, Bugis, dan Melayu Brunei, dan sebahagian besar daripada mereka merupakan nelayan miskin yang tinggal di sepanjang pantai dan di kepulauan Batu Sapi, yang terletak kira-kira 20 minit atau sejam perjalanan dengan bot dari Sandakan. Kesemua mereka membentuk 60 peratus daripada jumlah pengundi Batu Sapi.

Berdasarkan perkiraan, BN, dengan sokongan kira-kira 60 peratus daripada undi Bumiputera Islam, hanya menyasarkan untuk memperoleh 25 peratus daripada undi Cina untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

Berdasarkan perkiraan ini, BN dijangka memenangi pilihan raya ini dengan majoriti antara 1,000 dan 2,000 undi.

Para pegawai BN turut berkeyakinan untuk mendapat majoriti yang lebih besar sekiranya jumlah keluar mengundi melepasi tahap 70 peratus, dan mengandaikan Yong tidak mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina.

"Majoriti pengundi di Batu Sapi berpegang kepada politik pembangunan. Jenama politik pakatan pembangkang tidak dapat diterima dan konfrontasi SAPP akan menjadikan Sabah kembali mundur," kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said kepada Bernama, di sini hari Selasa.

Bagaimanapun, mereka agak bimbang berhubung siri kempen Yong, yang menurut mereka, telah memberi impak besar atau mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina.

Sebaliknya, sumber dalaman parti berkata SAPP menyasarkan untuk meraih 80 peratus undi Cina menerusi kempen "Sabah for Sabahans" sambil menetapkan sasaran untuk berkongsi sekurang-kurangnya 20 peratus undi Bumiputera Islam menerusi pemimpin tempatan yang berpengaruh Datuk Nahalan Damsal (seorang bekas menteri negeri dan bekas Ketua PKR Batu Sapi, yang menyuarakan sokongannya kepada Yong dan bukannya Ansari).

Nahalan dikatakan masih dipandang tinggi oleh pengundi di Sekong, satu daripada dua kerusi DUN yang membentuk kerusi Parlimen Batu Sapi selain kerusi DUN Karamunting. Sungguhpun beliau tewas atas tiket PKR dalam pilihan raya umum lepas, beliau berjaya memperoleh 2,082 undi, berbanding Adun Sekong sekarang, Datuk Samsuddin Yahya.

Bagaimanapun, SAPP telah menyuarakan kebimbangan tentang kempen berbisik oleh DAP bahawa "Yong akan membawa partinya menyertai semula BN jika beliau menang," dan dakwaan ini berkemungkinan menjejaskan peluang Yong untuk menang.

Ini menjelaskan sebab Yong mengeluarkan kritikan pedas terhadap DAP Sabah kerana mensabotaj parti yang sama-sama di pihak pembangkang.

Selain itu, DAP juga mempunyai kira-kira 1,500 anggota di Batu Sapi dan jika kesemua anggota ini dapat diyakinkan supaya mengundi PKR, maka ia dapat meleburkan peluang Yong untuk melakukan upset.

BN mengharapkan agar PKR berupaya 'mencuri' sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 undi Cina daripada SAPP, sekali gus memecahkan undi Cina secara signifikan dalam tiga cara.

"Jika PKR boleh mendapat kira-kira 1,500 undi Cina dan BN pula memperoleh lebih 1,000 undi Cina, ia akan membawa bencana kepada SAPP," kata beberapa penganalisis politik.

PKR, yang berharap memenangi pilihan raya kecil ini, menetapkan sasaran meraih 40 peratus undi Bumiputera Islam dan kira-kira 20 peratus undi Cina.

Menyedari bahawa mereka kini sekadar mengekori, jentera PKR menggandakan usaha sejak dua hari lepas, dengan melaksanakan segala strategi yang dapat difikirkan sebagai usaha terdesak di saat-saat akhir.

PKR sendiri berdepan masalah dalaman setelah pencalonan Ansari kurang dipersetujui memandangkan beliau tidak diterima baik di Batu Sapi.

Ansari, yang berasal dari Tuaran, Kota Kinabalu, terpaksa bergantung kepada penyokongnya di luar Sandakan dan beberapa pemimpin pembangkang di peringkat pusat, termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PAS Mahfuz Omar untuk meyakinkan pengundi supaya mengundi beliau.

Mereka turut menggunakan pemimpin setempat yang berpengaruh seperti Datuk Karim Ghani, seorang ahli politik veteran, dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri yang telah pun bersara, Hasbullah Taha, untuk mengusahakan undi buat Ansari.

Bagaimanapun, kempen pilihan raya PKR masih berdepan masalah apabila Ketua cabang Batu Sapi, Hassnar Ibrahim mengarahkan tokoh berpengalaman seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Christina Liew dan Ketua PKR Sabah Ahmad Thamrin Jaini supaya tidak datang ke Batu Sapi untuk berkempen.

Ini seterusnya merenggangkan sejumlah besar kalangan yang bersimpati dengan PKR untuk menghulurkan bantuan dalam pilihan raya kecil itu.

Keseluruhannya, pengundi Cina merupakan kunci utama untuk menentukan pemenang pilihan raya kecil yang sengit ini, satu ujian getir bagi meletakkan label pada Sabah selaku ‘simpanan tetap’ bagi BN.

Seperti yang dikatakan oleh para petugas BN, daripada 9,600 pengundi Cina, mereka menjangkakan kira-kira 5,500 pengundi akan keluar mengundi, dan BN percaya lebih 1,000 daripada mereka adalah anggota Parti Liberal Demokratik, Gerakan, MCA serta Parti Bersatu Sabah dan menjangkakan kesemua anggota parti terbabit akan mengundi calon parti yang memerintah.

"Kami percaya Yong akan memperoleh kira-kira 3,000 hingga 4,000 undi. Jika beliau memperoleh lebih daripada 4,000 undi, maka kami akan berdepan masalah.

"Petunjuk yang terbaik ialah, jika sehingga 2 petang 4 Nov, jumlah pengundi Cina tidak melepasi 40 peratus, maka kami perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan undi Bumiputera. Kami tidak punya pilihan melainkan membawa keluar setiap pengundi Bumiputera Islam supaya keluar mengundi," katanya.

Kebimbangan yang dikongsi bersama dalam kalangan semua parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini ialah sabotaj dalaman pada hari mengundi.

Walau apapun jua, penganalisis politik percaya bahawa jumlah undi yang diperoleh SAPP dan PKR, sekiranya digabungkan, akan mengatasi undi buat BN.

No comments:

Post a Comment