Wednesday, 3 November 2010

SEMANGAT BN SEMAKIN KENTAL DAN TERUS MEMBARA




HANYA tinggal sehari sahaja sebelum tempoh berkempen berakhir, Barisan Nasional (BN) tetap berusaha sehingga ke saat akhir bagi memastikan kemenangan calonnya Datin Linda Tsen Thau Lin pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil BN, berkata walaupun mereka yakin mencapai kemenangan namum mereka tidak mahu mengambil mudah.

"Kita masih ada masa untuk berkempen. Kita akan terus bekerja keras dengan menjelaskan kepada rakyat apa yang kita telah lakukan dan apa rancangan yang kita akan laksanakan untuk kepentingan dan keselesaan rakyat.

"Adalah penting bagi rakyat sedar bahawa hanya BN sahaja boleh membawa pembangunan dan kita ada projek pembangunan yang sedang berjalan.

"Sekiranya Batu Sapi atau mana-mana kawasan jatuh ke tangan pembangkang, maka sukar bagi kita melaksanakan projek dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas jamuan tengah hari bersama wakil media yang membuat liputan pilihan raya kecil itu di sini Selasa.

Musa berkata adalah penting untuk terus bekerja keras untuk rakyat demi membuktikan keikhlasan BN kepada rakyat.

"Dengan ini, kita juga meningkatkan kredibiliti kita kerana rakyat akan mengadili kita berdasarkan pencapaian kita selama ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata reaksi rakyat terhadap Tsen adalah menyenangkan.

"Namun kita tidak harus leka. Kita masih ada waktu untuk mendampingi rakyat dan pengundi serta menunaikan janji kita kepada rakyat. Kita tidak pernah membuat janji kosong," jelasnya.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan Khamis ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, iaitu suami Tsen, dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu pada 9 Okt lalu.

Pada pilihan raya kecil itu, Tsen akan menentang calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment