Monday 15 November 2010

YONG CABAR THAM LAPOR POLIS DAN SPRM



Oleh: IBU PEJABAT SAPP

PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee mencabar bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Tham Nyip Shen membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) terhadap dakwaan bahawa sebilangan individu ditipu di Sandakan berhubung urusan Unit Pengurusan Hutan (FMU).

Yong berkata, Tham seharusnya membuat laporan itu kepada kedua-dua agensi tersebut kerana beliau mempunyai maklumat mengenai dakwaan berkenaan.

“Adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu menyembunyikan maklumat daripada pihak berkuasa.

“Selama ini Tham tidak pernah mengetengahkan dakwaan bahawa sebilangan ahli perniagaan di Sandakan telah ditipu wang mereka untuk urusan FMU itu. Saya ingin memberi penjelasan di sini bahawa FMU bukan satu lesen membalak.

“Saya sedia memikul tanggungjawab jika dakwaan itu benar,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibupejabat SAPP di Luyang di sini, pada Isnin.

Yong berkata, Tham pernah menggunakan sebuah syarikat yang dikenali KKIP Forest Sdn Bhd untuk mendapatkan kepentingan peribadi apabila mengajukan permohonan bagi mendapatkan FMU kononnya syarikat itu mewakili 50 kilang perabot di kawasan KKIP.

Yong seterusnya berkata bahawa bapa Tham merupakan seorang pengusaha kilang perabot terbesar di Keningau dan keluarga Tham sudah pasti akan mendapat manfaat menerusi permohonan FMU melalui KKIP Forest Sdn Bhd itu.

Tham dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin berkata bahawa beliau beberapa kali diberitahu sumber-sumber yang boleh dipercayai kononnya ada pihak menerima wang yang banyak selepas menjanjikan urusan FMU kepada beberapa orang di Sandakan.

“Saya terperanjat apabila diberitahu oleh beberapa ahli perniagaan di Sandakan bahawa walaupun bayaran dijanjikan untuk kelulusan FMU, mereka tidak menerima apa-apa. Mereka ini adalah rakan saya dan saya terpaksa memperjelaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan FMU,” kata Tham.

Menurut Tham beliau pernah membantu sebuah persatuan dengan lebih 50 pemilik kilang perabot di sekitar kawasan KKIP untuk memohon FMU di bawah KKIP Forest Sdn Bhd.

Katanya, para pemilik kilang itu bimbang mereka tidak akan mendapat bekalan balak yang mencukupi pada harga berpatutan sebaik hutan dikendalikan oleh syarikat swasta.

No comments:

Post a Comment