Sunday 5 February 2012

FELDA BERDAYA SAING DI PENTAS ANTARABANGSA

DATUK Seri Najib Tun Razak berkata penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd(FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia adalah bagi memacu Felda untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri berkata penyenaraian itu bertujuan memantapkan lagi organisasi Felda serta meluaskan ruang perniagaan bersama rakan kongsi niaga antarabangsa menerusi pengkomersilan produk-produk hiliran hasil keluaran Felda.

"Percayalah, Felda yang diasaskan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak (Hussein) tidak akan dikhianati malah usaha dan pengorbanan para peneroka selama ini bagi kemajuan Felda dan negara akan dibawa lebih jauh lagi," katanya pada majlis Penyampaian Skim Insentif Tanam Semula Felda Wilayah Kuantan di Dewan Felda Chini Timur 3 di Chini, Pekan, Pahang.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Najib berkata para peneroka perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Felda dan tidak perlu terpengaruh dengan pelbagai dakyah pihak-pihak tertentu yang mendakwa penyenaraian itu kelak merugikan para peneroka.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menyediakan insentif kepada peneroka yang telah menebang pokok kelapa sawit berusia lebih 25 tahun untuk tujuan penanaman semula dari tahun 2008 hingga 2009.

"Bagi menggalakkan usaha itu bayaran sebanyak RM1,000 sehektar diberikan kepada peneroka yang mula menebang dan menanam semula pokok-pokok sawit mereka bermula 1 Dis 2008 hingga 30 Jun 2009," katanya.

Sementara itu, Isa ketika ditemui pemberita berkata kerajaan sedang berbincang dengan MPOB untuk memberikan insentif serupa kepada peneroka yang berbuat demikian dalam tempoh 2004 hingga 2005 di 36 tanah rancangan Felda seluruh negara.

"Sehingga kini seramai 10,020 peneroka telah menerima insentif itu yang melibatkan bayaran berjumlah RM14.81 juta," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment