GOLONGAN wanita didapati paling ramai menjadi mangsa jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia sepanjang tahun 2008 hingga Januari lalu.
Menurut Sekretariat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), sepanjang tempoh itu juga seramai 562 wanita telah berjaya diselamatkan.
Selain itu, katanya, seramai 118 kanak-kanak dan 261 lelaki juga berjaya diselamatkan dalam sepanjang operasi yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa.
"Sepanjang tempoh empat tahun itu 426 kes dan 599 tangkapan telah disiasat oleh agensi-agensi penguat kuasa.
"Mangsa yang berjaya diselamatkan itu ditempatkan di rumah perlindungan dan diberi perintah perlindungan tetap (PO)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, satu mesyuarat mengenai MAPO untuk kali kedua telah diadakan hari ini di Hotel Equatorial, Cameron Highlands, Pahang, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam.
Pada pertemuan itu juga, diadakan satu sesi perjumpaan bersama pekebun di tanah tinggi tersebut bagi membincangkan isu berkaitan pekerja asing.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut memberitahu, sepanjang tempoh empat tahun berkenaan sebanyak 235 kes sedang dibicarakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
"Selain itu, di bawah akta tersebut sebanyak 66 kes selesai didakwa manakala tujuh kes disabitkan kesalahan dan 392 kes yang dituduh," katanya.
Menurut kenyataan itu, sepanjang November 2010 hingga Januari lalu, 27 kes penyeludupan migran berjaya dipatahkan.
No comments:
Post a Comment