Sunday 26 February 2012

RANGKA MANUSIA GUA NIAH DI NEVADA



USAHA membawa pulang rangka manusia yang ditemui di Gua Niah yang kini berada di Universiti Nevada, Las Vegas ke Sarawak mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, ini kerana proses itu membabitkan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Kita perlu mematuhi prosedur tertentu yang rigid dan mengambil masa. Namun, kita akan melakukan yang terbaik untuk membawa (pulang) kesemua rangka manusia tersebut,” katanya kepada media semasa ditemui di Muzium Petroleum Miri, kelmarin.

Beliau mengulas terdapat lebih 200 rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara tahun 1957 dan 1967 dan daripada jumlah itu, 122 dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada untuk dijadikan bahan penyelidikan oleh pakar arkeologi Richard dan Sheilagh Brooks.

Walaupun mereka sudah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu, namun sehingga kini tiada satu pun diterbitkan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Warisan Negara, Prof Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid pada 2004 telah mengesan Brooks, namun penyelidikan itu tidak diteruskan kerana beliau sudah uzur.

Sehubungan itu, kerajaan negeri semasa Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo yang berlangsung pada 27 hingga 31 Oktober tahun lepas, mahu rangka manusia itu dibawa pulang ke Sarawak bagi membolehkan pakar-pakar arkeologi di sini meneruskan kajian.

Ipoi menambah, pihak Nevada juga mahu memastikan Muzium Sarawak menyediakan bilik kurator khas yang memenuhi standard pemeliharaan dan pengawetan yang ditetapkan.

“Lokasi yang dicadangkan ialah bahagian sayap kiri di Muzium Petroleum Sains Miri. Kita boleh mendapatkan bantuan daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mereka bentuk tempat penyimpanan rangka tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, projek membawa pulang rangka manusia purba itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.5 juta termasuk perbelanjaan menjejaki rangka, penerbangan ke Las Vegas serta pembinaan bilik khas kurator.

Dalam pada itu, kajian Projek Gua Niah oleh pakar arkeologi dari Universiti Cambridge mengesahkan penemuan tengkorak manusia berusia 42,000 tahun, antara yang tertua di Asia Tenggara.(Utusan Borneo)

No comments:

Post a Comment