Monday 27 February 2012

KENAPA PAKSA KAMI MEMEGANG GUNUNG, JIKA TANGAN KAMI MENCAPAI AWAN?



Oleh : MUTALIB M.D

PENYENARAIAN Felda Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 10 Mei 2012 adalah hasrat melambung para peneroka Felda, termasuk Mohd Awi dan anak-anaknya kerana mereka tidak mungkin lagi mampu mengusahakan kebun kelapa sawit di Felda Sahabat, Tungku, sepanjang hayat.

Manakala anak-anaknya yang tidak lagi takut kepada lanun, yang pernah menjadikan Felda Sahabat sebagai 'tempat persembunyian' pula tidak mahu mewarisi kesengsaraan menjadi 'pahlawan cangkul'; telah berhijrah ke seluruh Malaysia meneruskan kehidupan bersama suami dan isteri masing-masing.

Sehubungan itu tidak timbul langsung soal penyenaraian FGVH boleh melupuskan hak atau mendatangkan risiko kepada kehidupan mereka yang sebelum ini susah; kini menjalin kehidupan yang agak selesa hasil perancangan dan transformasi kerajaan.

Bagi Mohd Awi, cukuplah penderitaannya mengusahakan tanah FELDA dengan tulang empat keratnya yang mula reput dan hasil usahanya telah memberikan pendidikan kepada anak-anaknya; maka mereka tidak lagi perlu bergantung kepada kebun yang tidak lagi berhasil kerana memasuki fasa tanaman semula.

Penyenaraian FGVH adalah 'Durian Runtuh' kepada beliau dan generasi kedua serta ketiga FELDA yang menjadikan Fajar di Bumi Permata FELDA sebagai 'Jalan Menuju Ke Syurga' adalah hasil transformasi Legasi Tun Razak yang kini diteruskan anaknya.

"Jika FELDA perlukan tanah ini, saya sedia berikan asalkan anak-anak kami tidak lagi perlu memegang sabit atau mewarisi kemiskinan kami," kata Mohd Awi yang kini gembira setelah rumahnya siap hasil skim pinjaman perumahan FELDA.

Bagi Mohd Awi, sekalipun tidak pernah mengabaikan tanggung jawabnya membuang undi pada setiap kali pilihanraya umum sejak 1976, namun beliau tidak berminat untuk aktif dalam politik, apatah lagi pendidikannya setakat darjah lima; maka beliau tidak mengambil tahu wujudnya 'ANAK' atau 'BAPAK' dalam FELDA.

Oleh itu, beliau tidak mempeduli desakan dan pandangan pemimpin UMNO seperti Tengku Razaleigh dan Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim kerana masa hadapan mereka telah dirintis ke Bursa Saham Kuala Lumpur dan bukannya terpenjara di dalam hutan kelapa sawit yang menjadi sarang nyamuk sehingga ramai anaknya mengidap demam malaria di era 90-an.

Kawasan FELDA yang agak luas di Sabah, iaitu seluas 119,600 hektar (295,412 ekar) [Umas-Umas Tawau 9,700 hektar-(23,959 ekar), Kalabakan 6,900 hektar (17,043 ekar) dan Gugusan Sahabat Lahad Datu 103,000 hektar (254,410 ekar)], namun Mohd Awi bersyukur kerana anak-anaknya tidak menjadi peneroka kerana yakin dengan Program Transformasi Kerajaan yang menaiktaraf kelas ekonomi peneroka dan generasi berikutnya.

Sehubungan itu, Mohd Awi dan anak-anaknya seramai sembilan orang, dua daripadanya masih bersekolah tidak pernah mempedulikan rapat umum anjuran PAS dan PKR yang mencanangkan FELDA telah menindas para peneroka melalui Akta Kawasan Tanah Berkelompok 1960 (GSA); termasuk istilah 2P (Pecah dan Perintah) atau ‘Devide et Impira’ kerana baginya, segala usahanya telah mempunyai titik temu di FELDA Sahabat.

Mohd Awi adalah salah seorang daripada 872 Peneroka bertuah yang ditempatkan di FELDA Sahabat Lahad Datu dan tidak ingin anaknya menjadi peneroka disebabkan banyak peluang lain terbuka luas; termasuk menjadi peniaga dan pengusaha yang boleh mendapat hasil yang lumayan, mengatasi hasil kebun kelapa sawit yang diberikan FELDA.

"Cukuplah British meninggalkan sisa daki dunia di fikiran kita. Mereka mahu anak-anak petani terus menjadi petani sedangkan saya mahukan anak saya menjadi peniaga, peguam, doktor dan sebagainya," kata Mohd Awi yang secara terang-terang menolak dakyah pembangkang yang cuba menghasut mereka menentang kerajaan.

Kata Mohd Awi, hanya bapa yang kejam sahaja mahu anaknya menjadi peneroka, sedangkan hakikatnya semua ibubapa mahukan anak mereka menebus maruah keluarga dengan menjadi masyarakat kelas pertengahan, menengah dan atas.

"Mewariskan kebun ini kepada salah seorang anak saya, seperti membenarkan mereka bergaduh merebut harta pusaka, sedangkan kami masih bernafas di dunia," ujar Mohd Awi lagi yang bercadang menamakan kesemua anaknya sebagai pewaris agar mereka tidak berebut untuk menjual tanah berkenaan; apatah lagi tidak seorangpun anaknya yang berminat meneruskan tugasnya sebagai peneroka.

Bagi Mohd Awi, tiada siapa pun boleh menafikan penubuhan Felda pada 1 Julai 1956 oleh Tun Abd Razak adalah langkah bijak menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan; khususnya untuk orang Melayu di Semenanjung dan Bumiputera di Sabah.

Melalui Buletin FELDA, Mohd Awi tahu bahawa FELDA merupakan Agensi Pembangunan Tanah yang mempunyai keluasan 905,448 hektar dengan penyertaan 112,635 orang peneroka di seluruh Malaysia telah meletakkan Felda peneraju tanah terbesar dunia.

Mohd Awi percaya, kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memastikan saham milik FELDA yang tersenarai di Bursa Malaysia berjumlah RM4.3 bilion itu selamat untuk masa hadapan anak cucunya yang bakal mewarisi tanahnya kelak.

Sekalipun Kerajaan ‘Berjaya’ telah memberikan kawasan seluas 101,171 hektar secara ‘Percuma’ kepada Felda pada 1979; namun bagi Mohd Awi, ketika itu, jika bukan FELDA yang membangunkannya, kawasan berkenaan masih menjadi 'Kubu Lanun' dan tidak mungkin beliau dapat membesarkan dan menyekolahkan anak-anaknya sehingga mereka mampu berdikari sendiri.

Mungkin Mohd Awi tidak perlu tahu bahawa hanya 5,610 hektar daripada 101,171 hektar tanah yang diberikan kepada FELDA di Gugusan Sahabat adalah kawasan peneroka; manakala bakinya 100,174 hektar kawasan komersil dan 1,707 hektar lagi merupakan kawasan bandar dan kampung.

Atas sebab yang hanya diketahui 872 peneroka, Mohd Awi tidak terkilan sekalipun janji FELDA untuk merekrut 15,000 peneroka tidak kesampaian setelah FELDA menukar dasarnya daripada penempatan peneroka kepada perladangan komersil; namun Mohd Awi bersyukur kerana anak-anaknya yang mampu bekerja sendiri tidak perlu mewarisi kesusahan yang beliau alami ketika mengerjakan tanah rancangan berkenaan.

Mohd Awi sedar, generasi kedua dan ketiga FELDA mampu menjadi pemimpin masa hadapan negara; hasil didikan ibu bapa melalui jaringan dan rangkaian sistem sosial FELDA; apatah lagi sejak daripada 1990, Felda tidak lagi mengambil peneroka melalui penubuhan anak syarikat iaitu Felda Plantation Sdn.Bhd; menjadikan FELDA mempunyai 317 tanah rancangan berkeluasan dua juta ekar di seluruh negara, 43 anak syarikat dan mencatat keuntungan berbilion ringgit setahun.

"Jika boleh jangan ganggu kebahagiaan kami. Kejayaan yang kami kecapi bersama FELDA adalah amal jariah yang kami lakukan selama ini. Kami tidak mahu menjadi 'Keldai Politik'," kata Mohd Awi yang meyakini penyenaraian FGVH adalah langkah tepat FELDA menuju globalisasi.

Di akhir perbualan, Mohd Awi sempat bermadah, "kenapa paksa kami memegang gunung, jika tangan anak-anak kami telah mencapai awan?"

(NOTA : ATAS permintaan Mohd Awi, gambarnya tidak disiarkan kerana bimbang disalah faham pihak pengurusan FELDA dan tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan mempergunakan beliau untuk tujuan politik).

8 comments:

  1. menjadi peranan FELDA membela nasib para peneroka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya..itu adalah tanggungjawab felada untuk membela peneroka.

      Delete
  2. Mohd Awi percaya, kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memastikan saham milik FELDA yang tersenarai di Bursa Malaysia berjumlah RM4.3 bilion itu selamat untuk masa hadapan anak cucunya yang bakal mewarisi tanahnya kelak.

    Najib already give his guarantee, hope he work his word and the people can enjoy more benefit via Felda.

    ReplyDelete
    Replies
    1. melalui pentadbiran yang cekap..felda mampu untuk mnjadi lebih maju lagi.

      Delete
  3. golongan peneroka tidak akan kehilangan tanah atau insentif yang diterima mereka selama ini ekoran daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia. penyenaraian saham yang dijadual dilaksanakan pada pertengahan tahun ini adalah bertujuan memperluaskan aktiviti perniagaan Felda.

    ReplyDelete
  4. Jalankan tanggungjawb yang telah diamanhkan untuk membangunkan dan menolong para peneroka agar dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

    ReplyDelete
  5. Nampaknya ada batahan diterima mengenai Felda Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur yang disenarikan.

    ReplyDelete
  6. harap felda akan terus maju dan peneroka juga akan terus mendapat manfaat..

    ReplyDelete