Wednesday 29 February 2012

KERAJAAN SELANGOR PERLU BANTU BADRULAMIN



Oleh : AZMAN ARIFFIN

PENULIS terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Selangor semalam yang menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam kes khalwat Dr. Badrulamin yang dipetik dari Bernama.

Itu memberi maksud bahawa Badrulamin akan dibiarkan bersendirian menghadapi pertuduhan fitnah ini dan jika benar ia adalah konspirasi UMNO, maka besar kemungkinan beliau akan didapati bersalah.

Penulis lihat seakan ada double standard dalam hal ini. Mana tidaknya, dalam soal pertuduhan ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei menghina Sultan Selangor, kerajaan Selangor membiayai perbelanjaan guaman beliau walaupun kes itu tentang menghina Sultan Selangor sendiri! Kenapa yang itu boleh?

Walaupun dari segi latarbelakangnya, kedua kes tersebut adalah berbeza, tapi ia tetap melibatkan ahli pentadbiran kerajaan di samping proses perundangan yang hampir sama.

Sebagai Pengarah Penerangan Khas Negeri merangkap Penasihat Agama Menteri Besar, peranan Badrulamin dalam pentadbiran kerajaan negeri sangatlah penting. Apatah lagi bila Menteri Besar sekarang turut memikul portfolio Agama yang dahulu dipegang Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat.

Badrulamin juga adalah seorang yang cukup setia dengan PKR, malah beliaulah orang yang membacakan doa pada hari PKR dilancarkan. Telah dibuktikan, dalam apa keadaan, susah mahupun senang, Badrulamin sentiasa setia dengan parti termasuk pada 2004 ketika PKR mengalami kemerosotan sokongan yang amat dahsyat.

Tidak keterlaluan kalau penulis katakan, Badrulamin jauh lebih berjasa jika dibanding dengan Shuhaimi dan Menteri Besar sendiri!

Penulis tidak rasa rakyat Selangor akan mempersoalkan kerajaan negeri jika dana awam negeri tersebut digunakan untuk membiayai kos guaman Badrulamin. Kedudukan Badrulamin dalam pentadbiran kerajaan negeri mewajarkan penggunaan dana awam digunakan untuk membiayai kes guamannya nanti.

Maklumbalas yang penulis terima, keengganan Menteri Besar campur tangan dalam kes khalwat Badrulamin ini amat mengecewakan penyokong Pakatan Rakyat terutamanya ahli PKR di peringkat akar umbi. Mereka tidak nampak justifikasi wajar kenapa Badrulamin tidak layak untuk dibantu.

Seolahnya, PKR adalah parti yang tidak mengenang budi orang yang sudah banyak berjasa kepada parti tersebut.

Penulis menggesa kerajaan Selangor menyediakan segala keperluan kewangan dan perundangan untuk membantu Dr. Badrulamin menghadapi kes khalwatnya; sama seperti bantuan yang diberikan dalam kes Shuhaimi Shafiei.

Keengganan membantu Badrulamin hanya akan menjauhkan lagi sokongan rakyat kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment