Sunday 19 February 2012

MPPPS TANGKIS DAKYAH PEMBANGKANG

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SERAMAI 40 pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) terdiri daripada UMNO, LDP, PBS, UPKO, MCA, PBRS, NGO dan Agensi-Agensi Kerajaan dan Badan Berkanun telah menghadiri Mesyuarat Pembentukan Jawatankuasa Pelaksana Program Majlis Penerangan Perdana Parlimen Sandakan (MPPPS) yang dilangsungkan di Bilik Mesyuarat Dewan Masyarakat Sandakan, kelmarin

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga selaku Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong telah dihadiri oleh Ketua Bahagian UMNO Sandakan Tan Sri Haji Ampung KK Puyon; Ketua Bahagian UPKO Sandakan Datuk Ambrose Juin dan Pegawai Khas Datuk Adnan Mazlan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Penerangan BN Malaysia, Abdul Halim Tua.

Dalam perbincangan yang berjalan selama 2 jam itu bertujuan bagi membentukan jawatankuasa pelaksana dan jawatankuasa kecil petugas Program Majlis Penerangan Perdana Parlimen Sandakan (MPPPS) yang bakal diadakan secara besar-besaran di Dewan Masyarakat Sandakan pada pertengahan Mac ini.

Menurut VK Liew, program tersebut diadakan adalah untuk menangkis segala tohmahan, hujah serta isu pembangkang terhadap pemimpin, mahupun kerajaan kerana isu ini jika tidak jawab akan memberi impak negatif kepada rakyat, terutama sekali ahli-ahli parti komponen BN.

Kata Liew lagi, sejak akhir-akhir ini para pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Rakyat; Pas dan DAP suka memutarbelitkan fakta sebenar perjuangan, konsep dan dasar-dasar kerajaan BN pada hari ini.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana memberi kesan negatif kepada rakyat jelata dan boleh memesongkan buah fikiran rakyat untuk meraih sokongan. Maka program sebegini harus diadakan agar para pemimpin kerajaan BN dapat menjelaskan dengan terperinci kepada rakyat mengenai tohmahan-tohmahan supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah songsang tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, dalam taklimat ringkas, Abdul Halim Tua mahu semua ahli parti komponen BN yang ada pada hari ini supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penganjuran program penting ini agar dapat berjalan dengan lancar.

“Saya minta ahli-ahli UMNO, LDP, PBS, UPKO, PBRS, MCA termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan-badan NGO yang telah dilantik agar dapat memainkan peranan masing-masing ke arah tugas-tugas yang telah diamanahkan.

"Sebagai contoh, pihak MPS sebagai Urusetia dalam mengeluarkan kad-kad jemputan sebanyak 4,000 hingga 5,000 orang; sementara pihak RTM/Sandakan FM diberi tugas menghebahkan program ini melalui corong-corong Radio dan sementara Wartawan Sabahkini.Net Wilayah Sandakan diberikan tugas membuat publisiti, sama ada di Portal Online Sabahkini.Net dan juga media-media cetak,” saran Halim.

Katanya lagi, dalam penganjuran program ini, ia membabitkan Komponen BN sebagai jentera, agensi-agensi Kerajaan, Badan-Badan NGO Belia, semua lapisan masyarakat serta pihak swasta dan kelima-lima badan yang disebutkan ini adalah sebagai badan penggerak untuk menjayakan perjalanan program ini nanti.

No comments:

Post a Comment