Friday 3 February 2012

PETRONAS TAWAR KONTRAK RM900 JUTA



PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) telah memberikan 70 kontrak bernilai lebih RM900 juta kepada 20 syarikat dan kontraktor Sabah dari 2009 hingga tahun lepas.

Pengurus Besar Sabah dan Labuannya, Joseph Podtung berkata ini menunjukkan komitmen Petronas untuk memberi peluang kepada orang tempatan untuk terlibat di dalam industri minyak dan gas di negeri itu.

Katanya Petronas baru-baru ini telah memutuskan untuk memberi mereka peluang membida tender bernilai di bawah RM2 juta yang tidak memerlukan teknologi tinggi.

"Bagi aktiviti huluan Petronas, ia merupakan sesuatu yang baharu bagi kontraktor tempatan."

"Ini akan memberikan mereka pengalaman agar pada masa depan kelak mereka akan mempunyai pengalaman yang perlu, malah mereka akan dapat membida kerja yang lebih besar," katanya di sini hari ini.

Podtung berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak antara Petronas Carigali Sdn Bhd dan satu syarikat usahasama JV KK Dinamik Sdn Bhd dan KK Success Vision Sdn Bhd untuk membina Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) di Menara Petronas.

Petronas diwakili oleh Ketua Bahagian Pembangunan antarabangsanya, Abdul Malik Jaafar, manakala Pengerusi Eksekutif JV KK Dinamik dan KK Success Datuk Ajit Galun, menandatangani bagi pihak kedua-dua syarikat itu.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Sebelum itu, Podtung berkata Petronas akan terus memupuk dan menggalakkan syarikat dan rakyat Sabah untuk mengambil bahagian di dalam industri minyak dan gas.

"Kami berharap kerjasama ini akan menggalakkan syarikat Sabah yang lain lebih banyak melibatkan diri di dalam industri itu," katanya.

Sementara itu, Ajit mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana memberi projek itu, sambil menyatakan "kami berharap ini akan meningkatkan lagi keupayaan kami untuk mengambil bahagian di dalam projek yang lebih besar dan lebih kompleks pada masa depan di Sabah dan di tempat lain."

Kontrak bernilai RM30.6 juta itu melibatkan pembinaan dua bangunan latihan dan pentadbiran dua tingkat, hostel tiga tingkat, kemudahan latihan luar dan infrastruktur berkaitan serta peruntukan perkhidmatan berkaitan yang lain.

KTC akan menjadi pusat latihan perindustrian sepenuhnya yang pertama di Sabah yang diwujudkan oleh Petronas sejajar dengan pembangunan pelbagai projek minyak dan gasnya di negeri itu.

Kemudahan itu, dijangka disiapkan pada 2012, sangat berguna untuk membantu memupuk keupayaan rakyat Sabah memenuhi keperluan tenaga manusia yang semakin berkembang di dalam industri minyak dan gas di Sabah. (BERNAMA)

1 comment:

  1. saya sekerang dah abis belajar dengan petronas tp tengah cari kerja..ari tu ada interview petronas...saya nak minta kerja dengan petronas kalau boleh...

    ReplyDelete