Friday 24 February 2012

UMNO GALI KUBUR SENDIRI DI LABUAN?


VIDEO KLIP ARIF BUANG

Oleh: AWANGKU HALIM PANGIRAN TENGAH

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan mengekalkan penghakiman yang dibuat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dilihat sebagai percubaan UMNO menggali kubur sendiri di Labuan pada pilihanraya umum akan datang.

Pada 10 Mac 2010, Hakim Mahkamah Sesyen, Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu selepas Suhaili mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu gagal memaklumkan Malayan Banking Bhd. bahawa dia seorang muflis pada 3 April 1996, ketika menjadi penjamin dalam borang permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 oleh syarikat Saraequity Sdn. Bhd, untuk membeli sebuah apartmen di Api-Api Centre.

Suhaili memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dan pada 27 September 2010, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengetepikan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan Suhaili kerana gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank 14 tahun lepas ketika menjadi penjamin dalam satu permohonan pinjaman perumahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Stephen Chung membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Suhaili, 49, terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2010.

Dalam penghakimannya, Chung berkata, bekas wakil rakyat itu dijadikan mangsa apabila didakwa setelah sekian lama dia bebas daripada status muflis iaitu pada 1997.

Bagaimanapun, Pendakwaraya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang baru-baru ini telah bersidang dan membuat keputusan mereka tidak mempunyai merit untuk membuat keputusan dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen serta mengenepikan Keputusan Mahkamah Tinggi; sekaligus menutup terus peluang Suhaili untuk mendapatkan penghakiman mutlak.

Ternyata Mahkamah Kangaroo yang diwujudkan UMNO, berjaya membunuh kerjaya politik Suhaili atas komplot 'Tangan Ghaib' yang sebelum ini menjatuhkan Pak Lah tetapi enggan membenarkan Najib menjadi Perdana Menteri, sebagaimana yang didedahkan Raja Petra Kamaruddin sebelum ini.

Walaupun Suhaili telah kehilangan jawatan dan peluangnya di dalam UMNO dan Kerajaan, namun mengikut Undang-Undang Pilihanraya, Suhaili boleh bertanding mewakili mana-mana parti dan keadaan ini membimbangkan UMNO/BN sekalipun laporan yang mereka palsukan bahawa BN tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi parlimen Labuan dengan mengekalkan Yusof Mahal.

Perkembangan mutakhir ini membuka peluang kepada semua parti politik termasuk DAP, PAS dan PKR untuk mencuba nasib di Labuan; sekalipun mengikut persetujuan Pakatan Rakyat, PAS berpeluang bertanding kerusi berkenaan kerana pada 2008 kerusi ini ditandingi PAS.

Menurut majoriti pengundi dan Ketua Cawangan UMNO di Labuan, jika Suhaili bertanding mewakili apa juga parti, hatta sebagai calon bebas sekalipun beliau akan menang dengan mudah.

Ramai ahli UMNO telah secara senyap-senyap menyertai DAP, PAS dan PKR dan dikhabarkan hanya tinggal Ketua Cawangan yang masih bertahan kerana mempunyai kepentingan politik.

Sabahkini.net mengikuti perkembangan kes mahkamah Suhaili sejak sebutan kes pada Mac 2009 lagi. Jika diteliti dengan betul, kedua-dua pertuduhan awal terhadap Suhaili ditarik pada saat akhir, ketika kes ini baru hendak dibicarakan, atas sebab ketiadaan bukti.

Pendakwaraya sebelum ini telah mengeluarkan sapena kepada 12-15 orang untuk hadir ke mahkamah sebagai saksi. Ketika itu ramai berpendapat pihak pendakwaraya sudah mengumpul cukup bukti untuk mendakwa Suhaili, malangnya kedua-dua pertuduhan itu ditarik balik, dan digantikan dengan pertuduhan baru.

Menurut Peguam Suhaili, Rakhbir Singh, petisyen muflis terhadap Suhaili difailkan pada 1993, dan Suhaili hanya tahu beliau diisytiharkan muflis bila beliau ditahan di lapangan terbang ketika hendak berlepas ke Manila pada 1997.

Ketika itu Suhaili bertindak sebagai penjamin terhadap pinjaman bank pada 1996 dan beliau tidak tahu yang beliau telah diisytiharkan muflis.

Suhaili kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Labuan sehingga Mac 2009. Suhaili juga dipilih sebagai calon Ahli Parlimen pada 2004, tetapi tidak menjadi kesalahan kerana beliau tidak didakwa pada ketika itu.

Tambah membingungkan, pendakwaan terhadap beliau dibuat oleh SPRM, bukannya orang awam atau Jabatan Pendaftaran Negara (IC Palsu) atau pihak bank. Jika dilihat rekod bank, pinjaman yang dijamin Suhaili sudah lama dilangsaikan. Jika beliau berniat menipu, pinjaman tersebut tidak akan lunas hingga ke hari ini.

Mengikut tinjauan rambang Sabahkini.net, 29 Cawangan UMNO di Labuan yang selama ini masih berpaut kepada UMNO sementara menunggu rayuan Suhaili akan bertempiaran menyertai parti lain atau kekal bersama Suhaili dan sekaligus menghakis peluang UMNO untuk mengekalkan Kerusi Parlimen Labuan yang dimenangi oleh Datuk Yusof Mahal, setelah komplot SPRM menjatuhkan Suhaili berjaya.

Siasatan Sabahkini.net sejak tiga hari lalu mendapati api dalam sekam yang berasap selama ini mula menampakkan bara yang menyala sekalipun belum merebak dan membakar gelombang politik Labuan.

Majoriti Ahli UMNO Labuan kesal kerana Mantan Ketua Bahagian mereka, Suhaili dijatuhkan dengan cara tidak bermoral dan mereka dipaksa menerima Ahli Parlimen yang rasuah, penuh skandal dan pecah amanah.

Walaupun buat masa ini, hanya Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Labuan, Arif Buang yang berani menampilkan diri dan bersuara lantang, namun 14 Ketua Cawangan yang selama ini berdiam diri; mula menunjukkan suara protes mereka sekalipun belum berani mendedahkan nama dan wajah mereka disebabkan ugutan yang mereka terima daripada Pegawai Kanan UMNO.

Menurut majoriti Ketua Cawangan UMNO Labuan, mereka kesal kerana komplot menjatuhkan Suhaili akhirnya merayakan kejayaan mereka setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang difailkan, sekaligus mengesahkan bahawa secara automatik Suhaili bukan lagi Ahli UMNO.

Mereka menyatakan buat apa lagi berada di dalam UMNO Labuan yang penuh korup, dipimpin oleh penjenayah dan mereka yang tamak haloba sehingga pembangunan Labuan kini umpama sebuah penjara terpencil.

Namun kata mereka, belum masanya menampilkan diri membuat pengakuan untuk meninggalkan UMNO bersama ahli cawangan masing-masing kerana belum ada ketentuan bila pilihanraya umum ke 13 akan diadakan.

Bisik-bisik sumbang dan keluhan berat mula menjadi hidangan perbualan harian yang membimbangkan jentera risikan UMNO/BN termasuk Cawangan Khas (SB) sehingga menukar Ketua SB Labuan, DSP Arjeet Singh pada 2011 kerana melaporkan kebenaran bahawa UMNO akan kehilangan kerusi Labuan jika Suhaili terus dianiaya dan tidak dicalonkan pada pilihanraya umum akan datang.

Sebelum ini, Arif Buang telah membuat kenyataan terbuka di Sabahkini.net melalui artikel 'Altimatum Buat Presiden Umno' termasuk melalui rakaman video yang disiarkan di Youtube.


Ketika dihubungi sebentar tadi, Arif menegaskan beliau kekal dengan keputusannya dan mengesahkan bahawa segala percakapannya dalam Youtube adalah benar dan dibuat secara sukarela dan tidak teragak-agak mengotakan apa yang telah dikatakannya.

"Kita sudah bersedia. Tunggu masa yang sesuai," ujarArif yang tidak gentar kepada ugutan dan gertakan 'Tangan Ajaib' di dalam UMNO.

Dalam pada itu, mungkin Jawatankuasa Pengurusan UMNO dipengaruhi rasuah dan salahguna kuasa kerana sekalipun membuat peraturan bahawa berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti selaras dengan Fasal 10.10 Perlembagaan Umno; namun ramai pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen yang didakwa di Mahkamah bukan sahaja tidak digantung jawatan, malah dibenarkan memegang jawatan penting.

Antaranya Yusof Mahal yang dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan sekalipun telah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah dalam Kes SUIT NO. L 22–08 of 2010–1 (Nautika Inovasi Sdn Bhd Vs Labindo Engineering Services Sdn Bhd) dan kini dalam peringkat rayuan untuk mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Labuan.

Ibu Pejabat Umno mengumumkan jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Suhaili gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa di mahkamah selaras Fasal 10.10 Perlembagaan Umno.

Dalam pada itu, ketika dihubungi Sabahkini.net sebentar tadi, Suhaili berkata beliau menerima keputusan mahkamah tersebut dengan dada terbuka.

"Jika setakat ini sahaja jodoh saya dengan UMNO, saya reda. Mungkin peluang saya untuk maju dalam politik bukan dengan UMNO," ujar Suhaili yang belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Menurut Suhaili, pemecatannya daripada UMNO adalah langkah pertama daripada seribu langkah berikutnya menuju kejayaan.

"Bila tiba masanya saya akan membuat kenyataan rasmi. Buat masa ini kita tengok dulu apa yang akan terjadi, terima kasih kepada UMNO," ujar Suhaili sambil membayangkan suatu kejutan akan berlaku.

Anda Mungkin meminati Artikel ini:

Suka Hisap Susu Lembu, Tapi Pangggil Sapi ‘Mama’?

MP Labuan ‘Dajal Bermata Satu?

Suhaili Mula Buka Mulut

Walau Dicincang, Suhaili Tetap Bersama Umno

Altimatum Buat Presiden Umno

KC Umno Kesali Sikap MT Umno

Umno Labuan Mula Main Taktik Kotor

Japlin Terlepas, Suhaili Masih Tergantung?

Ada Tangan Ghaib Mahu Jatuhkan Presiden

Labuan Milik Pakatan Rakyat Pru-13?

Isa Telah Selamat, Suhaili Masih Digantung

SUA Umno Lebih Berkuasa Daripada ROS?

Suhaili Didenda Rm10,000 Atau Sebulan Penjara

Bekas MP Labuan Mengaku Salah Tipu Bank

Umno Dakwa Gugurkan Suhaili Mengikut Perlembagaan Parti?

27 Ketua Kampung Desak Suhaili Dilantik Semula

Konspirasi! Konspirasi! Bukan Korupsi!


No comments:

Post a Comment