Tuesday 7 February 2012

UMNO KIMANIS PERLU BERSATU

MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mahu anggota Umno, terutama di kawasan Parlimen Kimanis, supaya bersatu padu dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan parti itu meraih kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Ketika membuat seruan itu, beliau berkata perpaduan merupakan kunci utama kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) terutama dalam menghadapi cabaran PRU-13 yang dianggap paling getir dalam sejarah pilihan raya umum negara.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, berdasarkan rekod keputusan pilihan raya lepas yang baik dan maklum balas terkini yang diterima Umno bahagian Kimanis, parti itu berada di landasan yang cukup kondusif untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis dan dua kerusi DUN di kawasan Parlimen itu iaitu Bongawan dan Membakut.

"Soal sama ada seseorang wakil rakyat itu anak jati tempatan atau sebaliknya seharusnya tidak timbul. Apa yang penting ialah sumbangan atau impak daripada perkhidmatan wakil rakyat terutama daripada segi pembangunan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat kesiap siagaan jentera pilihan raya Parlimen Kimanis di Pejabat Perhubungan Umno Kimanis di pekan Bongawan, dekat sini hari ini.

Turut hadir Adun Bongawan Datuk Karim Bujang yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Kimanis dan Naib Ketua Bahagian itu yang juga Adun Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif. Menteri Luar yang juga Ketua Bahagian Umno Kimanis Datuk Seri Anifah Aman kini berada di luar negara untuk tugasan rasmi.

Md Isa yang merupakan 'Bapa Angkat' kepada Umno Bahagian Kimanis, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan akhbar beberapa anggota Umno bahagian itu baru-baru ini yang mahu Anifah, anggota Parlimen Kimanis, diganti dengan anak jati tempatan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata sokongan Umno bahagian dan rakyat Kimanis yang kuat terhadap Anifah, Karim Bujang dan Mohd Arifin merupakan petanda yang baik untuk BN.

"Saya telah mendengar sendiri penjelasan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kimanis dan disokong oleh sayapnya termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang mahukan ketiga-tiga tokoh ini termasuk Anifah dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

"Sebagai bapa angkat kepada Umno Bahagian Kimanis, saya akan memaklumkan perkara ini kepada Presiden Umno," katanya.

Mengenai isu nasional yang dibangkitkan pembangkang di kawasan itu, Md Isa berkata isu nasional termasuk kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) tidak mendapat sambutan.

"Saya lihat isu yang ada kaitan kehadiran pendatang asing yang datang secara tidak sah perlu diberi perhatian dan saya yakin kerajaan Persekutuan dapat memperhalusi isu ini terutama seruan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)," katanya.

Md Isa turut meminta sayap pemuda dan puteri Umno supaya melipatgandakan usaha untuk menambat hati pengundi baru, sekaligus membantu BN mencapai kemenangan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment