Tuesday 5 February 2013

BEKAS ADUN BINGKOR TERAJUI PARTI KITA






BERTENAGA..... Rombakan baru, bertanda (1) Thomas Anggan, bertanda (2) Prof Dr Abdul Rashid Kobod, bertanda (3) wakil Parti KITA Pusat, duduk kiri sekali, Sylvester Mutang Dawat dan Ketua Wanita.

 Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Bekas Adun Bingkor dalam era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekitar tahun 1985, Thomas Anggan kini mengambil alih kepimpinan Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) Sabah selepas penyandangnya Datuk Pengiran Othman Rauf meletakkan jawatan berkuatkuasa Febuari 2013 atas alasan kesihatan.

Perlantikan Thomas Anggan berikutan satu keputusan sebulat suara di kalangan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu di Sabah baru-baru ini yang dihadiri wakil daripada Pusat parti itu yang mengesahkan bahawa mesyuarat pemilihan itu selaras dengan Perlembagaan Parti KITA.

Dalam pada itu, Sejurus selepas mesyuarat itu, Anggan memberitahu media bahawa barisan kepimpinan Parti Kita di Negeri Sabah menghadapi sedikit rombakan di mana beberapa golongan profesional seperti Peguam dan tokoh akademik (Ph.D) turut membarisi kepimpinan baru.

Selain beliau yang dilantik sebulat suara sebagai Pengerusi Parti KITA Negeri Sabah, dua Timbalan Pengerusi turut dilantik iaitu Sylvester Mutang Dawat bagi kuota KDM dan Peguam Haji Johan Asik Shah bagi kuota Bumiputra Islam, manakala Profesor Dr Abdul Rashid Kobod @ Cikgu Rashid dilantik sebagai Ketua Penerangan dan Pengarah Strategi.

Manakala jawatan Setiausaha Perhubungan Parti KITA Sabah disandang oleh seorang ahli akademik muda Timis Sampadi; Ketua Wanita Betty Edwin Malangkan dan tiga AMT biasa masing masing disandang Jounal Bibi, Wahid Susu @ Suyoh dan Saidi Jaimin.

Anggan yang pernah dilantik Setiausaha Politik sebelum pilihanraya mengejut 1986 (Snap Election) semasa kerajaan PBS, merupakan kakitangan Polis berpangkat Inspektor dan meletakkan jawatan untuk menceburkan diri di dalam arena politik tahun 1985 dan bertanding di kawasan Dun Bingkor menang dengan majoriti besar.

Berhubung dengan dasar perjuangan parti itu di Sabah, Anggan berkata, beliau akan terus memperjuangkan hak asasi rakyat di negeri ini terutamanya hak agehan yang saksama dan adil dari segi hasil kekayaan sumber asli negeri ini seperti gas dan minyak yang merupakan aset utama negeri ini yang mesti proses pengambilannya dirunding menerusi persidangan DUN Sabah.

“Kita juga mahu menubuhkan satu jawatankuas khas pengurusan tanah tanah di Sabah terutamanya tanah adat (NCR) yang dipanggil Tribunal Pengurusan Tanah (kerana) setakat ini satu Ordinan Tanah yang berkuatkuasa sekarang tidak relevan lagi dan sudah lapuk.

“Mengenai geran komunal, sekiranya Parti Kita diberi mandat rakyat pada pilihanraya umum kali ke-13, maka geran ini kita mansuhkan kerana hanya memberi manfaat kepada syarikat syarikat gergasi luar yang diberi kontrak kerajaan untuk mengusahakannya dengan pelbagai tanaman. Malangnya rakyat sebagai penama dalam geran itu hanya sekadar diberi imbuhan beberapa ringgit sahaja,“ tegas Anggan.

Justeru, Anggan tanpa segan silu menegaskan bahawa hasil masyhul di Sabah seharusnya dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah dan hanya sekadar memberi sumbangan sekurang-kurangnya 40 peratus kepada kerajaan pusat sebagai imbuhan kerana Sabah salah satu negeri berada dalam kelompok gabungan kerajaan Malaysia selepas Sarawak dan Malaya.

“Itulah sebabnya rakyat di Sabah kurang senang hati dengan kerajaan Persekutuan kerana hak asasi kita sudah terhakis sepertimana yang terkandung dalam dokumen 20 Perkara. Ertinya kita seolah-olah masih dijajah walaupun selepas penjajahan British,” tegasnya.

Ketika ditanya berhubung kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) untuk menghadapi PRU-13 beliau berkata, “Kita sedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan mereka, tetapi sekiranya mereka juga tidak melayani kami, tidak apa kerana Parti KITA mampu bertanding untuk 60 kerusi DUN dan 25 Parlimen,” tegasnya.

Berhubung dengan persiapan parti itu untuk menghadapi PRU-13, Anggan menegaskan bahawa jentera parti itu telah siap siaga sejak awal lagi kira-kira dua tahun lalui, dan setakat ini 4 pemimpin telah dikenal pasti untuk diletakkan sebagai calon iaitu beliau sendiri akan bertanding di kawasan Dun Bingkor dan Parlimen Keningau, Sylvester Mutang (Parlimen Tenom), Haji Juhan Asik Shah (Parlimen Kota Belud) dan Profesor Dr Abdul Rashid Kobod @ Cikgu Rashid (Parlimen Semporna dan Dun Senallang).

No comments:

Post a Comment