Tuesday, 5 February 2013

BERNARD DOMPOK AMAL POLITIK ANTI AGAMA?






Oleh : HAJI HAMZAH ABDULLAH

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sabah mengutuk keras kenyataan Tan Sri Bernard Dompok yang yang disiarkan media pada 3 Februari 2013. Kenyataan tersebut sangat serius dan seolah-olah cuba untuk mengapi-apikan penganut Kristian di Sabah untuk membenci Islam.

PAS tidak pernah mengamalkan dasar anti agama lain. PAS sebuah parti yang tunduk dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan Agama Persekutuan, disamping penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka.

Dompok seperti tidak menghormati perlembagaan Malaysia dan cuba menimbulkan kecurigaan terhadap agama lain. PAS menganggap ini sebagai politik anti agama dan memecahbelah masyarakat.

PAS sedar semua ini dilakukan Dompok akibat daripada kecenderungan masyarakat untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) secara besar-besaran pada PRU-13 yang akan datang.

PAS mengingatkan kepada Dompok dan juga BN agar meninggalkan politik seperti ini kerana masyarakat sudah bosan dengan politik ugut mengugut yang diamalkan BN sekian lama.

Masyarakat sekarang sudah berubah. Masyarakat lebih mementingkan kejujuran dan keadilan. PAS Sabah mengingatkan supaya Dompok melihat kepada politik Kelantan yang sudah lebih 20 tahun dipimpin oleh PAS.

Tidak ada seorang pun rakyat bukan Islam yang dinafikan hak mereka untuk beragama. Malahan pembinaan kuil agama Buddha yang terbesar di Malaysia juga dibina di Kelantan. Disamping itu, pemerintahan PR yang dipimpin PAS di Kelantan tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan terhadap harta rakyat.

Pemikiran Dompok sepatutnya sudah berubah selari dengan zaman. Jangan lagi mengamalkan politik seperti ini. Berilah tumpuan pada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.Sampai bila rakyat Sabah boleh berubah sekiranya pemimpin BN terus menggalakkan sikap permusuhan seperti ini.

Dompok sepatutnya membaca dan memahami misi perjuangan PR dan PAS dengan lebih mendalam lagi. PAS secara jelas telah melancarkan misi Negara Berkebajikan yang menjadi misi utama mewujudkan kesejahteraan rakyat.

Semua kandungan yang terdapat dalam tawaran Negara Berkebajikan adalah berkaitan dengan pembelaan dan kesejahteraan rakyat. PAS Sabah menganggap adalah sangat malang bagi rakyat Sabah kerana memiliki seorang pemimpin seperti Dompok yang berfikiran anti agama dan suka mewujudkan ketegangan dalam masyarakat.

PAS menganggap inilah kesan apabila satu satu parti politik itu berada dalam BN. Mereka akan melakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan kuasa. Mereka tidak menghiraukan keharmonian masyarakat dan kesusahan masyarakat.

Apabila hampir pilihanraya barulah mereka akan turun kepada rakyat dan menabur pelbagai janji disamping membuat pelbagai ugutan kepada masyarakat.

PAS Sabah mengingatkan kepada Dompok dan BN Sabah, tumpukanlah perjuangan untuk membela rakyat. Tahun ini tahun ke-50 Sabah merdeka dalam Malaysia. Keperluan asas rakyat seperti air, jalanraya dan sekolah masih lagi tidak selesai.

Berpolitiklah dengan cara yang matang dan berhentilah daripada mengamalkan politik ugut mengugut. PAS Sabah ingin mengingatkan kepada Dompok, Islam tidak pernah mengajarkan umatnya untuk membuat jahat kepada orang lain, walaupun berlainan bangsa dan agama.

Inilah yang menjadi pegangan kepada PAS. PAS akan terus berpegang kepada prinsip adil untuk semua dan sekali-kali tidak akan mengambil hak rakyat. Hasil negeri akan diagihkan secara adil kepada rakyat.

PAS berharap semoga Dompok dan seluruh pemimpin BN akan mengamalkan politik yang sihat dan matang. Jangan cuba kelirukan rakyat dan mengapi-apikan semangat perkauman dan anti agama.

No comments:

Post a Comment