Friday 8 February 2013

UMNO TIDAK MAMPU BELA RAKYAT






SERAH....Harun mantan Ahli Cawangan UMNO Kg Segaliud menyerahkan borang kemasukan seramai 86 orang ahli-ahli UMNO kepada Timbalan Presiden PAS Mat Sabu.

Oleh  : SHAIMON S JUMADI                  Foto : CHARLES P ANDIANG

SANDAKAN : Semakin ramai rakyat jelata di seluruh Malaysia sudah hilang kepercayaan kepada para pemimpin UMNO/BN yang tidak telus membantu rakyat jelata di negara ini, terutama sekali masyarakat Cina, India, Kadazan, Dusun dan Murut kerana diskriminasi dan amalan birokrasi yang mencengkam.

Sebaliknya pemimpin UMNO ini lebih mengutamakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah memegang kad pengenalan projek melalui pintu belakang kerana dijadikan 'Fixed Deposit' sebagai jalan tipuan untuk terus memerintah negara.

Kini UMNO/BN berada di dalam dilema setelah Perdana Menteri Malaysia menubuhkan Panel RCI di Sabah yang jika dilaksanakan dengan telus, maka mereka akan kehilangan lebih 1.3 juta pengundi hantu.

Demikian dijelaskan sendiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam sesi ceramahnya yang diadakan di Ballroom,  Hotel Pavillion, Bandar Labuk, Batu 7, dekat sini semalam yang dihadiri lebih 300 orang.

Katanya lagi, kehidupan mewah wakil rakyat UMNO yang kaya dan mampu memiliki harta benda dalam jangka masa singkat telah menjarakkan mereka dengan rakyat. 




HADIR ....Kebanyakan yang menghadiri majlis ini terdiri daripada guru-guru  dan kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Ada beberapa perkara lagi yang saya ingin sentuh di sini, kalau UMNO betul-betul parti untuk membela orang Melayu atau bumiputera di mana sebelum ini kebanyakan rumah di daerah Sandakan semak dengan kibaran bendera UMNO dan BN, kini macam jarak padang terkukur," kata Mohamad Sabu yang menyifatkan rakyat mula melakukan protes senyap.

"BN semakin kejam sekalipun hampir 100 peratus seperti penduduk Kampung Perpaduan, Kampung Tanjung Pasir, Kampung Baru TB Ward, Kampung Bakau dan kampung Muhibbah terdiri  para penyokong kuat dan pengundi tegar UMNO/BN, tetapi mereka tetap menjadi mangsa perobohan rumah oleh kerajaan BN/UMNO,” kata Mat Sabu.

Tegas Mohd Sabu lagi, orang Islam dilarang berjudi dan meminum arak kerana hukumnya haram, tetapi apa hukumnya orang Islam yang dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Genting; iaitu pusat perjudian terbesar di Malaysia seperti Tan Sri Hanif Omar; Ahli Lembaga Pengarah Sport Toto, Tun Daim Zainuddin; Pemegang saham Beer San Miquel, Mirzan Tun Mahathir?

"Bukankah benda-benda haram sebegini dikawal oleh orang Islam sendiri iaitu kroni-kroni UMNO," jelas Mohamad Sabu lagi.

Dalam pada itu,  Mohamad Sabu telah menerima borang  kemasukan ahli UMNO Cawangan Kg Segaliud seramai 86 orang yang diketuai Harun bin Buku; manakala 130 orang lagi daripada cawangan Kg Taba Baru yang diketuai Harris Songgiok.

Kata Mohamad Sabu, penyertaan Harun, Harris dan 214 orang ahli UMNO ke dalam PAS kerana mereka tidak mendapat pembelaan langsung dari kedua-dua  Wakil Rakyat kawasan terlibat iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi dan ADUN Sekong.

Turut hadir dan memberikan ceramah di majlis tersebut ialah Pengerusi DAP Sandakan Steven Wong; Timbalan Persuruhjaya PAS Sabah, Haji Hamzah Abdullah; Timbalan Ketua Cabang PKR Batu Sapi Zainuddin Hassan, Ketua Cawangan PAS Batu Putih Sukau, Hj Adhah Hj Sulaiman  dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari.

No comments:

Post a Comment