Sunday, 14 November 2010

MENCONGAK TARIKH MANDAT BARU



SEBAIK muncul di khalayak umum, selepas sembuh menghidap penyakit cacar, badan Datuk Seri Najib Razak kelihatan susut sedikit, tetapi wajah tetap berseri dengan bibirnya berwarna kemerahan, yang sinonim dengan penampilannya.

Ketika mula diserang penyakit itu 4 November lalu, Perdana Menteri berada di bilik air di kediamannya. Najib kini sudah hampir sembuh sepenuhnya dan kembali bertugas, meskipun banyak acaranya sejak seminggu lalu, diwakilkan kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak hairanlah Facebook Najib dibanjiri ribuan ucapan selamat kembali bertugas, diiringi doa untuk terus sihat.

Menjelang 3 April tahun depan, Najib akan menyambut ulang tahun kedua sebagai Perdana Menteri. Beberapa hari sebelum itu, 26 Mac 2011, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula menyambut ulang tahun ke-30 sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sejak Barisan Nasional (BN) menang dua pilihan raya kecil, iaitu Parlimen Batu Sapi (Sabah) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas (Kelantan) baru-baru ini, sudah ada cakap-cakap kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat, serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Yang pasti, Sarawak akan adakan pilihan raya negeri dalam tempoh lapan bulan mulai sekarang kerana DUN yang ada akan tamat tempohnya menjelang 24 Julai 2011. Antara Mac hingga April depan adalah tarikh popular menjadi teka-teki pemerhati politik, untuk pilihan raya.

Yang belum pasti ialah pilihan raya umum, sama ada ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Jika serentak, bermakna pilihan raya umum juga perlu diadakan sebelum Julai depan, meskipun tempoh kerajaan BN pada peringkat Persekutuan sekarang hanya akan berakhir pada 2013, lebih dua tahun lagi.

Persoalannya sekarang, perlukah pilihan raya umum diadakan lebih awal semata-mata untuk mengadakannya serentak dengan Sarawak dan persoalan paling penting ialah sudah bersediakah BN khususnya UMNO untuk menghadapi pilihan raya dalam keadaan sekarang?

Ada yang berpendapat, BN perlu mengambil kesempatan kemenangan di Galas dan Batu Sapi untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat dengan alasan sokongan pengundi muda dan masyarakat Cina sudah kembali atau beralih semula kepada BN.

Pada saya gelombang kebangkitan semula sokongan serta keyakinan rakyat kepada BN sudah kembali. Kita harus ambil kesempatan ini, iaitu kekuatan BN dan penerimaan terhadap konsep 1Malaysia, bukan berasaskan kepada kelemahan pembangkang, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Katanya, selepas kejutan pada Pilihan Raya Umum 2008 dan selepas itu, kemenangan pembangkang di tujuh daripada 13 pilihan raya kecil, kini sokongan terhadap BN sudah kembali pulih, sekali gus memberi isyarat kepada Perdana Menteri untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, ramai juga berpendapat, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi tidak cukup untuk dijadikan ukuran mutlak kekuatan BN, jika keputusan dua pilihan raya kecil itu diperhalusi. Misalnya, di Galas, kemenangan BN dikatakan lebih menjurus kepada faktor Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan di Batu Sapi pula lebih kepada isu tempatan.

Sepanjang kempen di dua lokasi itu, isu nasional tidak begitu ketara dibangkitkan. Di Batu Sapi, banyak isu tempatan seperti pembangunan prasarana, jalan raya, jeti dan projek sosioekonomi khususnya di kawasan Bumiputera banyak mempengaruhi pengundi.

Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pandi Suhaili, berkata pihaknya tidak kisah sama ada pilihan raya umum diadakan serentak dengan pilihan raya negeri itu kerana jentera BN negeri khususnya sayap Pemuda PBB sudah bersiap sedia.

Saya akui jika diadakan serentak, sukar bagi jentera BN pusat bertumpu ke Sarawak, tetapi pada masa sama, pembangkang pun tidak dapat tumpukan jenteranya ke sini.... jadi tak banyak gangguan. Apa pun kita sudah bersedia dan yakin boleh menang semua 35 kerusi DUN PBB, tak jadi masalah untuk dapat majoriti dua pertiga dalam DUN. Jika Ketua Menteri nak adakan pilihan raya sebaik kembali dari menunaikan fardu haji bulan depan, pun boleh, katanya.

Itu dari segi politik, tetapi bagaimana pula dari segi ekonomi kerana keadaan persekitaran ekonomi negara serta peringkat global turut perlu diambil kira jika mahu mengadakan pilihan raya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif/pakar ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng, walaupun momentum pertumbuhan ekonomi sekarang positif dan meyakinkan pelabur, pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi yang diperkenalkan Najib akan hanya berhasil dalam tempoh setahun lagi.

Ini termasuk inisiatif ekonomi yang bertujuan memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek negara iaitu Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 selain pelaksanaan melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

Ini semua akan mula membuahkan hasil sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lagi. Begitu pun, apa yang meyakinkan pelabur ialah Perdana Menteri sudah memetakan dengan jelas transformasi ekonomi yang mahu dilakukan... ini penting walaupun pelaksanaannya akan mengambil masa.

Apapun, Perdana Menteri mungkin mahukan mandat kuat daripada rakyat (melalui pilihanraya) untuknya terus mempercepat serta mempergiatkan usaha mentransformasi ekonomi negara, katanya.

Namun, ketika cakap-cakap mengenai pilihan raya mula bergema, pakatan rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelihatan mula kucar-kacir dengan proses pengundian untuk barisan kepemimpinannya.

Walau apapun, selepas berehat beberapa hari di Hospital Kuala Lumpur, Najib mungkin sudah mula mencongak tarikh sebenar untuk mengadakan pilihan raya, awal tahun depan serentak dengan pilihan raya Sarawak atau menunggu sehingga awal 2012?

No comments:

Post a Comment