Saturday, 6 November 2010

SABAH JANA 60MW LETRIK DARI EFB?



Oleh : CHE JOHARI MAMAT

SABAH berpotensi menjana 60 MW tenaga lektrik bersumber tandan buah kosong (EFB) dari kilang minyak sawit yang berjumlah 120 buah yang beroperasi di negeri ini.

Di samping itu, sejumlah 60 MW tenaga elektrik juga berpotensi dihasilkan dari sumber biogas kilang minyak sawit itu kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis dialog MPOB dengan industri sawit di Sabah mengenai penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari kilang minyak sawit di sini baru-baru ini.

Majlis dialog itu disertai oleh lebih 200 peserta yang terdiri dari wakil pengilang minyak sawit dan agensi yang berkaitan di Sabah dan Sarawak. Turut hadir Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May.

Tan Sri Bernard berkata, forum seumpama ini dapat digunakan untuk memanfaatkan industri sawit dalam mengenalpasti langkah-langkah yang bersesuaian bagi memudahkan usaha menjana tenaga boleh diperbaharui.

“Langkah ini juga akan dapat menyumbang ke arah mengatasi masalah tenaga khususnya di Negeri Sabah,” katanya.

Sabah adalah pengeluar minyak sawit nombor satu negara dengan keluasan tanaman sawit mencecah 1.36 juta hektar atau 29 peratus dari keluasan negara yang berjumlah 4.7 juta hektar masa kini.

”Sabah juga mempunyai 120 kilang minyak sawit yang beroperasi dan berupaya menghasilkan jumlah yang besar EFB. Minyak sawit yang dihasilkan hanyalah 10 peratus, manakala 90 peratus lagi adalah bahan buangan termasuklah EFB.”

”Industri perlu mengeksploitasi sepenuhnya bahan buangan itu khususnya EFB dan sisa buangan kilang minyak sawit (POME) bagi menjana sumber tenaga elektrik selaras dengan dasar pembuangan sifar dan pada masa yang sama boleh menjana pendapatan,” katanya.

Tenaga elektrik yang dihasilkan itu bukan saja dapat digunakan oleh kilang sawit malah berpotensi untuk dibekalkan kepada penggunaan di kawasan yang memerlukan bekalan tenaga melalui grid nasional.

Tan Sri Bernard Dompok berkata, Kerajaan sememangnya menggalakkan penggunaan sumber tenaga hijau dan mesra alam dari sumber bahan buangan bagi mengurangkan penggantungan kepada sumber fosil yang semakin berkurangan dan sukar didapati.

”Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bekerjasama kearah memudahkan pembangunan industri tenaga diperbaharui terutama bagi industri sawit,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May menyampai ucaptama pada majlis dailog itu dan diikuti pembentangan empat kertas kerja dari Frost & Sullivan, KeTTHA, Bell Group of Companies dan MECC Engineering Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment