Oleh: MAIL MATHEW
PEGAWAI Pertanian Daerah Tenom, Osman Marzuki menegaskan bahawa sekiranya ada ahli ‘Usahawan Tani’ yang bermasalah, disarankan agar mengemukakan terus masalah mereka kepada Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk penyelesaian kerana projek usahawan Tani penanaman limau pamelo adalah milik Kementerian dan pihaknya hanya bersifat pelaksana.
Tegasnya, beliau tidak ada kuasa melayani pelbagai permintaan yang melebihi kapasiti bidang kuasanya yang sekadar melaksanakan arahan Kementerian supaya projek tersebut berjalan terus sampai ke sasarannya di peringkat akar umbi.
“Kita minta dia jumpa terus dengan T/SUT untuk menyelesaikan tuntutannya sebab kita di sini terlalu sibuk mengatur masyarakat petani di kampung untuk menyelaraskan penanaman limau pamelo supaya berjalan lancar,” kata beliau kepada Sabahkini.net.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan seorang usahawan yang bertindak keluar sebagai ahli ‘Usahawan Tani’ apabila tuntutannya meminta Jabatan Pertanian memasang kemudahan telaga tiub di ladangnya di kawasan tapak penanaman limau pamelo tidak dipenuhi.
Seorang ahli ‘Usahawan Tani’, Peter Wong, 52, (gambar) daripada Kg Amboi mendakwa beliau kecewa dengan gelagat pegawai Jabatan Pertanian di sini yang gagal menunaikan janji untuk memasang kemudahan telaga tiub di ladang limau pamelo miliknya seluas kira-kira 10 ekar.
Jelasnya lagi, pemasangan itu sebagai timbal balas daripada jabatan itu yang menjadikan ladangnya sebagai ladang contoh untuk para peserta menimba ilmu di kalangan usahawan tani cara-cara penanaman limau pamelo sebelum mereka (peserta) memulakan penanaman.
Ketika ditanya apakah ladang limau pamelo miliknya sudah menempah kejayaan maksdunya sudah mengeluarkan hasil yang membuatkan jabatan itu menjadikan ladangnya sebagai tempat menimba pengalaman Wong berkata, “Saya sudah usahakan semuanya seluas 35 ekar dan telah pun mengeluarkan hasil lebih kurang RM10,000 sebulan. (jadi) Saya benarkan mereka gunakan ladang saya seluas 10 ekar sebagai kawasan penyelidikan mereka tanpa apa-apa bayaran, tetapi saya tuntut janji mereka untuk pasang tiub telaga pun tidak dilayan, tetapi orang lain di kawasan akar umbi mereka pasang so, bagaimana saya boleh bekerjasama lagi,” tegas Wong.
“Saya bukan menyalahkan atau menuding jari kepada sesiapa dalam Kementerian tetapi sekadar menuntut janji yang pernah dibuat oleh pegawai jabatan itu di sini,” tambahnya lagi.
Difahamkan bahawa beberapa bulan lalu ladang Wong telah dijadikan pusat penyelidikan untuk tujuan menimba pengalaman bagi para peserta penanam limau pamelo di sini di bawah kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana Jabatan Pertanian sebagai pelaksana projek tersebut.
No comments:
Post a Comment