Thursday, 9 December 2010

ANDIPAI DESAK PKR PECAT JEFFREY



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

MANTAN Calon PKR bagi Parlimen Pensiangan pada pilihanraya umum 2008, Danny Andipai mencadangkan agar Pucuk Pimpinan PKR memecat Mantan Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada PKR kerana melancarkan agenda subversif memporak porandakan PKR Sabah dari dalam.

Andipai membuat kenyataan demikian sebagai mengulas artikel ‘Jeffrey Pointless To Be Veep Again’ yang disiarkan Sabahkini.net pada 8 Disember 2010.

Menurut Andipai, sepanjang menjadi Naib Presiden PKR, Jeffrey tidak pernah berusaha untuk memperkasa PKR, sebaliknya merancang strategi untuk memecah belahkan perpaduan PKR Sabah melalui beberapa agen sulitnya sehingga PKR gagal menyumbang walau sebarang kerusi pada pilihanraya umum 2008.

“Kehadiran Jeffrey dalam PKR selama ini hanya bersifat pengacau atau gunting dalam lipatan kerana sejarah politiknya membuktikan, sokongannya membawa rebah. Semua parti yang disertainya porak poranda. Dia masuk PBS, PBS tumbang kepada BN. Dia sertai AKAR, parti itu terpaksa dibubar. Dia sertai PBRS, berlaku krisis perlembagaan. Dia masuk PKR, PKR hampir hancur. Sebelum PKR hancur, pucuk pimpinan wajar pecat Jeffrey,” ujar Andipai yang kesal kerana Jeffrey terbabas daripada landasan perjuangan PKR, sekalipun berjaya menewaskannya sebagai Ketua Cabang Pensiangan.

Desakan ini dibuat, kata Andipai, setelah mempunyai cukup bukti untuk memecat beliau daripada PKR, terutama Jeffrey menjadi dalang utama kepada Geng 12 ‘Trojan Horse’ yang digantung keahlian selama setahun kerana menaja ‘Parti Cinta Sabah’ dan banyak bukti pengkhianatan Jeffrey kepada PKR selama ini.

“Ia tidak ada kena mengena dengan kekalahan saya sebagai Ketua Cabang PKR Pensiangan kerana perjuangan dan nama parti lebih penting daripada jawatan dalam parti,” ujar Andipai yang bersedia mendedahkan bukti pengkhianatan Jeffrey kepada pucuk pimpinan parti jika PKR bersetuju memecat Jeffrey.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Cabang Batu Sapi, Addin Ismail menghubungi Krew Sabahkini.net melalui telefon dan menghantar gambar melalui email turut mencadangkan agar Jeffrey dipecat terus dan disenarai hitam daripada PKR atau menyertai mana-mana parti Pakatan Rakyat kerana ibarat memelihara ular tedung di dalam rumah.

“Jeffrey menggunakan koresponden Malaysiakini, Joe Fernandez untuk menghentam pucuk pimpinan PKR dan menjadikan Haji Ansari sebagai sasaran sehingga beliau lupa bahawa musuh sebenar PKR ialah UMNO/BN dan bukannya pemimpin PKR yang selama ini berjuang untuk memastikan PKR diterima sebagai wadah perjuangan rakyat Sabah,” tegas Addin yang menyifatkan Joe Fernandez sebagai agen BN/UMNO dan tulisannya sebagai sampah busuk kerana mengadu domba pemimpin PKR.

Kata Addin, setiap kali kenyataan yang dibuat Jeffrey dan ditulis Joe Fernandez, memfokuskan sasaran kepada Haji Ansari yang mula diterima rakyat Sabah kerana mengamalkan politik sihat dan berjuang demi memartabatkan perjuangan rakyat dan Pakatan Rakyat Sabah.

Addin menafikan kenyataan artikel tersebut, ‘Jeffrey Pointless To Be Veep Again’ bahawa Datuk Kalakau Untol telah berjumpa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melobi perlantikan semula Jeffrey sebagai Naib Presiden PKR.

“Mengikut maklumat yang kita terima, tidak ada cadangan sedemikian dikemukakan dan pucuk pimpinan parti telah memutuskan agar Ketua Perhubungan PKR Sabah dan Sarawak dilantik secara konsensus di kalangan Ketua Cabang di Sabah dam Sarawak tanpa campurtangan PKR Pusat,” ujar Addin yang meminta ahli akar umbi PKR jangan percaya kepada dakyah songsang Jeffrey yang disebarkan oleh Joe Fernandez.

Tegas Addin, Timbalan Presiden, Tian Chua telah dilantik untuk memantau pemilihan Ketua Perhubungan PKR Sabah yang akan dibuat dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment