Wednesday, 1 December 2010

BAJAU LANGKAWI KAYA-RAYA, BAJAU SABAH PAPA KEDANA?



Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

LAGENDA Sumpahan Mahsuri yang meranjau masa selama hampir dua kurun bagaikan nostalgia yang menggamit saya ke Makam Mahsuri pada 30 November 2010 untuk mencari katalis sejarah yang mungkin mempunyai konotasi dengan kemiskinan di Sabah pada abad ke 21.

Perjalanan menaiki feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi yang memakan masa selama satu setengah jam memang memenatkan namun bagaikan ada suara yang menyeru saya untuk segera menziarahi Makam Mahsuri (walaupun Mahsuri berasal dari Thailand).

Saya begitu terkesima dengan pemandangan indah Pulau Sumpahan Mahsuri yang telah dibangunkan dengan begitu pesat, tanpa menganggu ekosistem dan alam semulajadi sejak 1980-an; dipercayai berakhirnya sumpah tujuh keturunan dengan lahirnya keturunan kelapan mereka yang memfitnah Mahsuri.

Lebih menakjubkan saya melihat betapa gahnya komuniti Bajau Langkawi yang kaya-raya mengukir kejayaan demi kejayaan sehingga agenda ‘TOWERING MALAY’ sebenarnya menjadi mercu tanda kepada Langkawi; berbanding Bajau di Sabah yang disifatkan sebagai miskin budi bahasa dan papa kedana harta, namun sombong tidak terhingga.

Darah Bajau (komuniti yang menghuni pinggir laut dan pulau) yang mengalir dalam tubuh saya bersama udara segar Langkawi yang dihirup untuk mengepam jantung melalui arteri bagaikan simpang siur jalan raya di Pulau bebas cukai ini, membawa bersama kesedihan masyarakat Bajau di Sabah yang dilumpuhkan oleh gejala subsidi sehingga tidak mampu berdikari.

Alangkah bertuahnya masyarakat Bajau Langkawi yang menunjang ekonomi setempat dan menafikan dominasi kaum Tiong Hua, sama ada dalam pemilikan hartanah atau bidang perniagaan yang menjadi warisan penjajah kepada kaum Tiong Hua.

Sukarnya melihat Bajau miskin di Langkawi sama sukarnya mencari Bajau kaya di Sabah melainkan jutawan ‘mi segera’ yang dilahirkan UMNO melalui rahim korupsi dan menyalahguna kuasa dengan memberi projek kepada kroni.

Setelah menjadi kaya dengan wang haram, majoriti pemimpin Bajau di Sabah menjalankan kegiatan ‘haram’ yang bertentangan dengan undang-undang untuk kepentingan diri sehingga lupa kepada tanggungjawab sosial untuk membebaskan komuniti Bajau daripada lingkaran putaran ganas kemiskinan.

Berjayanya Bajau di Langkawi bukan kerana berakhirnya Sumpahan Mahsuri dan gagalnya Bajau di Sabah bukan kerana janji Sabah Baru yang gagal dilaksanakan tetapi kerana budaya korupsi dan agenda tersembunyi pemimpin UMNO yang mahu menyediakan fixed deposit agar dapat memperoleh kuasa dan memerintah sampai bila-bila.

Natijahnya Bajau Sabah menjadi ‘anjing politik’ yang hanya diberi makan najis (antara RM10 hingga RM100) manakala tuannya mendapat segala hasil buruan daripada rimba politik berupa projek, tanah dan pangkat.

Siapa yang akan menghormati komuniti Bajau di Sabah jika pemimpin yang dilahirkan berjiwa ‘Hitler’ yang mengorbankan puluhan juta rakyatnya semata-mata untuk mengekalkan kuasa; paling ketara menjadikan Bajau sebagai pengundi tegar dan masyarakat subsidi, lalu memecah kecilkan mereka kepada beberapa sub-etnik dan merekrut warga asing sebagai ‘C4’ yang menjadi peledak untuk menguburkan semangat kebangsaan komuniti Bajau.

Apakah Bajau Sabah akan terus miskin, tidak beridentiti dan menjadi ‘anjing politik’ yang tidak mempunyai hak dalam Perlembagaan Persekutuan atau menjadi generasi baru yang menerajui ekonomi Sabah sebagaimana perkasanya Bajau Langkawi yang kini menjadi lagenda untuk generasi mendatang?

1 comment:

  1. Sedihnya,saya pernah keSabah sekitar tahun 80an. Kalau begitulah keadaannya masih tiada perubahan buat kaum Bajau disana apalagi tumbangkan saja BN disana. Teruskan bagi kesedaran kepada rakyat semua

    ReplyDelete