Saudara Pengarang,
KESEDIAAN Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) USBO yang menimbangkan cadangan untuk menyertai Gabungan Barisan Nasional (BN) melalui wadah Ahli Bersekutu disambut baik oleh masyarakat Bajau di Sabah tanpa mengira sub-etnik yang bergabung di dalamnya.
Namun saya agak kesal kerana sekalipun USBO adalah NGO, namun masih menggunakan pemimpin yang dikitar semula daripada persada politik tanah air, terutama yang terpalit dengan masalah peribadi dan telah ditolak masyarakat.
Mengikut senarai Ahli Majlis Tertinggi USBO bagi 2008-2010, hampir keseluruhan AMT USBO terdiri daripada ‘Beliau’ dan seolah-olah menyisihkan ‘Belia’ sehingga USBO bagaikan ‘Harimau Kertas’ yang tidak boleh mengaum atau menerkam untuk mempertahankan maruah dan imej Bajau yang terhakis dan dinafikan kerajaan BN selama ini.
Isu kemiskinan, peluang pendidikan, hak kesamarataan di kalangan komuniti Bajau gagal diperjuangkan secara mutlak sehingga mereka kini menjadi penumpang dalam arus perdana pembangunan negara dan dilihat sebagai kegagalan USBO; namun jika USBO dijenamakan semula dan membuka pintu seluas-luasnya kepada ‘Bumiputera’ (bukan sahaja Masyarakat Bajau) sudah pastinya akan mengembalikan USBO ke landasan perjuangan sebenar setelah anak jati Sabah kehilangan USNO dan masih sukar untuk menerima UMNO atas faktor nasionalisme.
Walaupun kesilapan demi kesilapan dilakukan USBO, namun kini tibalah masanya untuk pemimpin USBO kembali kepada tradisi membela maruah dan mempertahankan hak Sabah melalui Gagasan Barisan Nasional sebagai rakan kongsi yang komited dan berkarisma.
Jika hanya menyertai BN untuk mencukupkan Korum dan masih menutup pintu kepada pelapis (belia) komuniti Bajau dan Bumiputera yang masih terumbang ambing sehingga enggan mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih berdaftar kerana marah kepada pemimpin Bajau yang ada dalam kerajaan, maka ada eloknya USBO kekal sebagai NGO yang terus mencari jati diri kerana komuniti Bajau kini bagaikan buih di lautan yang pecah berderai dihempas ombak politik BN yang ganas.
Salam Perpaduan Buat Bajau di Malaysia.
PEMERHATI BAJAU
No comments:
Post a Comment