Saudara Pengarang,
SAYA adalah rakyat Sabah berasal dari Kota Marudu. Sudah bertahun-tahun saya hidup di sini, di bumi Semporna. Diversiti kehidupan di sini amat memukau hati saya. Setelah beberapa lama saya hidup di sini, saya sudah sedikit fasih akan berbahasa ‘Bajau’. Sudah pandai memakan putu dan sagol.
Sejak tinggal di bumi Semporna ini, saya sedikit sebanyak dapat melihat sifat-sifat semulajadi kebanyakan rakyat Semporna. Seperti, kalau sakit bomoh didahulukan sebelum hospital. Sifat ini bukanlah pada semua warga Semporna, tetapi ‘kebanyakannya’.
Ramai lelaki rakyat Semporna pula berkahwin lebih dari satu. Kalau begitu, ayat ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’ dalam filem Nujum Pak Belalang itu, sama sekali tidak boleh dipakai langsung di Semporna. Di sini juga, saya lihat kebanyakan dari mereka mengaku bersaudara dengan 'ORANG-ORANG KENAMAAN'.
Lupakan soal itu, ianya sekadar pembuka bicara akan permasalahan sebenar rakyat Semporna. Permasalahan dokumen pengenalan diri di Semporna ini saya anggap sebagai tahap kritikal. Maksud saya tahap kritikal itu bukannya terletak pada prestasi Jabatan pendaftaran Negara yang selalu dipersalahkan akan hal ini. Malah saya lihat tahap kritikall ini terletak dari semua pihak. Jabatan Pendaftaran Negara, Golongan Pemimpin dan warga Semporna itu sendiri.
Saya adalah seorang guru. Sedih saya melihat ramai rakyat-rakyat Semporna tidak bersekolah gara-gara tiada dokumen pengenalan diri. Malah saya ada merujuk permasalahan ini dengan salah satu kakitangan Jabatan Pendaftaran Semporna. Banyak juga kisah-kisah yang patut atau tidak patut terjadi yang saya dengar dari beliau. Memandangkan dia memang warga Semporna dan memang kakitangan JPN, maka saya rasa dia tidak bersikap bias akan hal ini.
Apabila saya bertanya orang kampung, mengapa anak tidak bersekolah? Jawabnya, anak beliau tiada Surat Beranak. Kenapa dia tidak membuat Surat Beranak? Maka dia pun menjawab orang JPN tidak melayan permasalahan beliau sebab JPN cuma MAHU MAKAN DUIT sahaja, malah dia mendakwa telah membuat permohonan berkali-kali.
Maka soalan ini lantas saya rujuk kepada rakan baru saya dari JPN. Maka dia pun menjawab, anak makcik itu adalah dari golongan Daftar Lewat yang bertaraf Orang Asing dan Surat Beranak anak makcik itu sedang dalam proses. Anak yang didakwa makcik itu sebagai anaknya itu sebenarnya bukan anak kandung beliau tetapi anak angkat beliau.
Ketika beliau ditemuduga di JPN, mak cik itu mengaku anak tersebut bukan anak sebenar dan mengaku anak itu lahir di sini tapi ibu bapa kanak-kanak itu bukan warganegara Malaysia. Maka dengan alasan itu anak tersebut diberikan Surat Beranak dengan taraf Orang Asing iaitu, warga asing yang lahir di sini.
Maka saya pun kehairanan dan risau, bagaimana dia boleh memiliki Surat Beranak sedangkan secara undang-undang dia bukan rakyat Malaysia. Maka kakitangan itu menjawab oleh kerana dia lahir di Malaysia, maka dia memang layak diberikan Surat Beranak dengan Taraf Orang Asing, Surat Beranak itu walaubagaimanapun tidak dibolehpakai untuk memohon kad pengenalan.
Lihat betapa bodohnya saya, biarpun ada ijazah tinggi menggunung, tapi mengenai Surat Beranak taraf Orang Asing pun saya tidak tahu. Maka saya pun terfikir seorang berpelajaran seperti saya tidak tahu menahu akan hal ini, pastilah warga-warga Semporna yang kurang berpelajaran tidak tahu akan hal ini.
Mungkin kerana ini ramai warga Semporna tidak tahu-menahu akan kelayakan sebenarnya memiliki pengenalan diri di Semporna kerana apabila saya menjelaskan kembali kepada mak cik itu, dia sama-sekali tidak menerima penjelasan saya kerana dia mendakwa permohonannya disokong oleh ORANG-ORANG BERHORMAT.
Saya bertanya lagi, kalau dah tahu anak tu tidak layak, kenapa mereka membuat permohonan berkali-kali? Maka kakitangan itu menjawab, memang itulah permasalahan yang perlu mereka tangani tiap hari, mereka yang ditolak pasti datang memohon lagi.
Maka permohonan tidak akak pernah berkurang malah akan bertambah, kerana mereka yang ditolak, pasti datang lagi. Maka saya rasa jikalau ada sistem yang boleh diperbaiki untuk mengelak mereka-mereka yang tidak layak ini dari membuat permohonan, supaya JPN lebih fokus kepada permohonan-permohonan mereka yang layak.
Tapi bila saya mengajukan hal ini kepada kakitangan itu, dia cuma menjawab, orang atasan tidak pernah memberi apa-apa arahan untuk menegah mereka-mereka yang mana permohonan mereka telah ditolak untuk memohon semula.
Di kalangan orang kampung saya pernah mendengar cerita yang mana Ketua-ketua Mukim mengambil kesempatan akan permasalahan mereka. Malah saya ada mendengar kisah-kisah sumbang di mana ada ketua-ketua mukim yang memberi perkhidmatan ‘keluarga tumpang’ iaitu, memberi upah kepada orang-orang kampung yang miskin untuk ‘mengaku’ bersaudara dengan orang yang kaya yang tiada dokumen pengenalan diri.
Kesahihan cerita ini tidak dapat dipastikan, tetapi yang pastinya cerita ini saya dengar dari pelbagai pihak iaitu dari orang kampung dan orang JPN sendiri.
Permasalahan pengenalan diri di Semporna perlulah diperhatikan secara teliti oleh pelbagai pihak, tidak kiralah badan-badan penguasa malah badan-badan pemimpin itu sendiri. Pemimpin-pemimpin pula perlulah mengkaji masalah ini, bukan sekadar hanya memberi tandatangan sahaja, tanpa perlu mengkaji samada mereka itu layak atau tidak.
Badan-badan berkuasa, khasnya JPN perlulah ada sistem yang boleh mengelak dari mereka yang tidak layak kekal tidak layak, dan lebih fokus akan mereka yang layak sahaja.
Yang paling kita harapkan kepada semua, agar janganlah mengambil kesempatan akan hal ini.
Salam Hormat,
SENANDUNG PUTERI BAYU
No comments:
Post a Comment