Wednesday, 6 April 2011

KURUP PEMIMPIN OPORTUNIS TULEN?



Oleh : PEJUANG SAPP

SESIAPA juga yang membaca karya ‘Pejuang PBRS’ tentunya akan terhibur dengan buaian kata-kata yang disusun atur bagaikan lagu ‘Selendang Sutera’ yang mendayu-dayu.

Malangnya apabila pembaca mula menjelajah kepada intipati kandungannya yang lebih banyak menyimpulkan kata-kata ‘memuji-muji’ Presidennya, Kurup tentunya pembaca cepat-cepat beralih kepada tajuk cerita lain.

Apa tidaknya, asalkan memulakan huraian cerita mesti diiringi dengan pujian konon Nabawan kini kepesatan pembangunan itu dan ini malah peruntukan berjuta-juta diberi oleh Kuala Lumpur; tetapi anehnya kenapa masih ramai rakyat Pensiangan masih mengeluh mengatakan jambatan roboh, jalan raya bermandi lumpur sepertimana berlaku d Kg Bonor, Kg Lintuhun Baru dan Kg Bambangan Baru?

Sama ada kawasan yang dijaga PBRS dan Kurup seluas ‘Se-Malaysia’ pun itu tidak kisah asalkan kerajaan BN mampu memberi peruntukkan pembangunan berbilion ringgit dan pelaksananya pula mampu melakukan tanggung jawab yang diamanahkan rakyat. Bagaimana mungkin dapat dilakukan kalau kawasan sebesar ‘lubang hidung’ pun satu dunia tahu kemundurannya.

Mengenai pembangunan di kawasan Parlimen Sepanggar dan Luyang seperti yang Pejuang PBRS telah bangkitkan, nampaknya PBRS sudah ketandusan isu untuk dibangkitkan kerana isu yang melibatkan kawasan Bandaraya yang bertanggung jawab mengenai jalanraya kawasan Bandaraya pun dicampur aduk dengan jalanraya seperti di Kg Bonor dan sebagainya adalah kawasan luar bandar yang melibatkan tanggung jawab wakil rakyat dan Pejabat Daerah.

Bagaimanapun jika Pejuang PBRS ingin benar melihat kecekapan pemimpin SAPP dan rakan-rakannya dalam pembangkang mentadbir dan membangunkan negeri Sabah dengan lebih maju dan mencapai sasaran rakyat, Pejuang PBRS harus menasihati Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup supaya meminta Perdana Menteri Dato’Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen.

Seandainya ditakdirkan (pasti menang) Gagasan Pembangkang yang merangkumi SAPP, PKR, PAS dan DAP menang dan memerintah Sabah, maka di situlah Pejuang PBRS akan lihat sendiri betapa majunya Sabah sehingga terbeliak mata akan kagum melihatnya.

Untuk makluman Pejuang PBRS, Gagasan Pembangkang termasuk ‘UPKO’ ketika ini sudah memeterai suatu persefahaman dan telah menyediakan satu pelan tindakan bersama untuk mendesak kerajaan Pusat khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD) bagi menyiasat pemberian Kad Pengenalan dan kerakyat kepada PATI; setelah selama ini Kurup mendiamkan diri tidak bersuara membantu menangani masalah PATI di Sabah.

Kepimpinan SAPP sudah puas memperjuangkan isu PATI, kuasa hak autonomi Sabah secara dalaman ketika berada dalam BN namun para pemimpin Kuala Lumpur memandang sepi; malah mereka mengatakan isu SAPP adalah basi dan lapuk yang mendorong SAPP keluar daripada Gagasan BN sebagai mempertahankan prinsip perjuangannya untuk membebaskan Sabah daripada ‘Jajahan Takluk’ dan ‘Hamba Abdi Politik’ sedangkan status Sabah dan Sarawak sama dengan Malaya ketika pembentukan Malaysia.

Mengenai dengan kenyataan Bryan Antabak bertajuk ‘Pemimpin SAPP Sudah Mula Nyanyuk? Siapa yang sebenarnya nyanyuk, lupa diri dan opportunis? Jimmy Jawatah bukan opportunis? Sebaliknya siapa yang opportunit apabila Presiden PBRS meninggalkan PBS selepas mengembalikan kepada TYT suratcara perlantikannya sebagai ‘Menteri’ sekitar tahun 1994 dan menubuh PBRS secara ‘Mi Segera’.

Bukankah tindakan Presiden PBRS itu satu tindakan yang opportunis kerana selepas penubuhan PBRS dengan sekelip mata pendaftarannya; maka PBS pun hancur berkecai kerana tindakan itu telah mendorong YB-YB lain keluar PBS dan menyertai UMNO dan parti-parti lain dalam BN.

Jangan samakan senario penubuhan SAPP kerana SAPP ditubuhkan selepas Datuk Yong Teck Lee dan beberapa pemimpin Cina yang lain ditolak oleh PBS pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Demi maruah dan sokongan akar umbi masyarakat pelbagai kaum kepada Datuk Yong Teck Lee; adalah menjadi haknya untuk menubuhkan sebuah parti politik dan bertanding dalam pilihan raya; YTL dan beberapa pemimpin lain menang dalam pilihanraya itu atas tiket BN.

Sementara Kurup Presiden PBRS dan dua pemimpin lain menang atas tiket PBS tetapi meninggalkan PBS di saat-saat akhir dan menubuhkan PBRS yang mempunyai sokongan pemimpin Persekutuan yang sudah terancang lebih awal sebelum pilihanraya 1994. Inilah yang dinamakan sebagai opportunis.

1 comment:

  1. Kurup adalah hero sebenar. meskipun menerima cacian disebabkan keengganan beliau bersetuju PBS keluar dari BN. Malahan beliau telah berkata, jika PBS berbuat demikian maka UMNO akan masuk ke Sabah. dan lihatlah apa yang telah dilakukan PBS terhadap negeri Sabah dan papan rejeknya, yong teck lee, bernard dompok, dan ahli2 yang menubuhkan parti sendiri meninggalkan pairin.
    Kurup tidak pernah menubuhkan partinya sendiri, tetapi ditawarkan mengemudikan PBRS, namun pengasasnya, antaranya Datuk Bongkos Malakun meninggalkan parti itu tidak lama kemudiannya.
    Inilah hero sebenar.

    ReplyDelete