Oleh: CHANG SHAK HUNG
SEJAK diserang angin ahmar empat tahun lalu, Chong Su Onn, 77, yang tidak pernah mungkir menunaikan tanggung jawabnya sebagai pengundi dalam setiap pilihan raya sejak 1969 tidak menyangka terpaksa membayar harga yang terlalu mahal iaitu terbiar dan melarat dalam kemiskinan.
Sebaik sahaja saya menerima daripada isterinya, Chan, saya telah bergegas ke rumah beliau untuk membantu apa yang terdaya saya lakukan; apatah lagi saya bukanlah seorang Wakil Rakyat atau jutawan.
Menurut Chan, suaminya menderita penyakit angin ahmar namun disebabkan kemiskinan yang merantai keluarga mereka, maka Chong terlantar di katil dengan mata yang terkebil-kebil meratapi nasib tanpa mampu melakukan apa-apa.
Setelah melihat keadaan suami Chan, saya memikirkan cara terbaik untuk membantu mereka ialah mendapatkan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah melalui Skim Bantuan Pesakit Terlantar untuk meringankan beban kewangan yang terpaksa mereka tanggung selama ini.
Saya telah meminta jasa baik Penolong Pegawai Kebajikan Kawasan Sandakan, Kasrin, untuk membantu keluarga tersebut dengan mengisi borang maklumat dan permohonan bagi mendapatkan Bantuan Pesakit Terlantar (BPT).
Sekiranya diluluskan, Chong akan mendapat RM300 setiap bulan untuk meringankan beban isterinya yang selama ini bertungkus-lumus melakukan pelbagai kerja sampingan kerana menyedari pepatah yang mengatakan, kawan ketawa boleh dicari, kawan menangis sukar didapati.
Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu Chan yang memikul beban untuk menyara suaminya yang terlantar dengan bantuan anak lelakinya yang bekerja sebagai buruh kasar di sebuah rumah usang setelah lebih 17 tahun Kerajaan Barisan Nasional telah menjanjikan sebuah rumah untuk rakyat Sabah pada kempen pilihan raya umum 1994.
Luka di hati Chong siapa yang tahu, namun mungkin berhenti berdarah setelah kedatangan Kasrin sebagai wakil JPKAS yang telah melakukan tugasnya dengan sempurna.
Sebagai pembayar cukai dan pemilih berdaftar, mungkin Chong dan Chan akan menerima hak mereka dalam masa antara dua hingga tiga bulan akan datang, namun saya berharap agar JPKAS akan menganggap kes Chong sebagai istimewa dan meluluskan segera bantuan berkenaan.
Di manakah semua wakil rakyat yang telah diundi Chong sekeluarga sejak pilihan raya pertama Sabah? Saya harap mereka berhubunglah dengan Pegawai JPKAS Sandakan untuk menghulurkan bantuan, terutama memastikan Chong dapat menikmati rumah PPRT sebelum menghantar usia ke hujung nyawa. Saya tidak menyatakan kampung atau kawasan mereka tinggal kerana tidak berniat untuk memalukan sesiapa.
No comments:
Post a Comment