Monday, 24 September 2012

IKLAN KOMERSIL DI SEKSYEN 17 BERMOTIFKAN POLITIK




KELUHAN......MP Petaling Jaya Utara Hee Loy Sian (kanan) mendengar keluhan penduduk Happy Mansion selepas mendapat aduan.

Oleh : MD IZWAN
 

PETALING JAYA : Ahli parlimen PKR, Hee Loy Sian yang tiba di Happy Mansion, Seksyen 17  Petaling Jaya mendakwa pembikinan iklan komersil yang berlangsung disini mempunyai kaitan dengan isu air Selangor dan mungkin digunakan dalam kempen pilihan raya sebagai modal politik Barisan Nasional.

Menurut penduduk tersebut, mereka terpaksa bangun pagi dan diarah oleh krew penerbitan menyertai pembikinan “iklan komersil” yang dianggarkan melibatkan seramai 200 orang rata-rata dan ada antaranya bukan penduduk di flat tersebut.

Krew penerbitan di lokasi didapati membawa trak air dan tong air untuk digunakan dalam pembikinan iklan tersebut.

Hee yang bergegas ke lokasi selepas mendapat rungutan penduduk di sini menyatakan rasa kesal dengan pihak yang bertanggungjawab dalam pembikinan iklan tersebut.

“Mereka (penerbit iklan) kata iklan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan air.

“Tapi apa yang saya tengok hari ini adalah berbeza sekali, dengan trak dan tong air yang digunakan dalam pembikinan iklan ini ia jelas menunjukkan terdapat agenda tersembunyi. Saya rasa ia akan digunakan dalam kempen politik nanti,” kata Hee.

Notis di papan pemberitahuan flat tersebut menyatakan pembikinan iklan tersebut akan berlangsung dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Dr S Paramananthan, salah seorang penduduk di sini berkata aktiviti tersebut bukan sahaja mengganggu mereka malahan menyifatkan ia mempunyai agenda tersembunyi.

“Saya rasa pembikinan iklan ini menyusahkan penduduk di sini, secara tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut dengan aktiviti ini.

“Saya syak iklan ini bermotif politik memandangkan peralatan dan kenderaan yang mereka gunakan dalam pembikinan iklan tersebut,” kata bekas pengerusi jawatankuasa penduduk Happy Mansion itu.






Produser pembikinan iklan yang hanya mahu dikenali sebagai Wai Leng enggan mendedahkan butiran mengenai iklan tersebut atas alasan ia maklumat rahsia dengan pelanggannya.

Malahan dia turut mengarahkan wartawan The Malaysian Insider tidak menulis tentang laporan pembikinan iklan tersebut atas alasan khuatir ia akan mengundang tindakan daripada pihak yang membayar mereka.

“Saya tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai iklan yang sedang kami buat ini bagi menjaga kerahsiaan dengan pelanggan kami,” kata produser daripada Reservoir Production tersebut.

Antara babak dalam pembikinan iklan tersebut ialah orang ramai beratur untuk mendapatkan air daripada trak dan juga terdapat sepanduk yang digunakan. Difahamkan iklan komersil itu sepanjang 40 saat.

Pihak bertanggungjawab dalam pembikinan iklan itu juga didapati menyediakan khemah dan memberi makanan kepada orang ramai yang terlibat dalam pembikinan tersebut, malahan penduduk di flat tersebut juga mengakui mereka diberi upah sebanyak RM50.

Pengerusi jawatankuasa penduduk yang mahu dikenali sebagai Andrew mengakui pihak pengurusan telah menerima bayaran sebanyak RM7500 bagi mendapat kelulusan mengadakan pembikinan iklan itu di Happy Mansion.

“Pihak pengurusan menerima sebanyak RM7500 daripada pihak penerbit. Ia hanya bagi mengumpul dana kami, kami langsung tidak tahu tujuan pembikinan iklan ini.

“Saya tidak menyangka akan terdapat ramai orang yang datang ke sini hingga mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penduduk. Ini mungkin kali pertama dan yang terakhir kelulusan sebegini diberikan,” katanya.

Putrajaya, media arus perdana dan BN Selangor telah memainkan isu krisis air di negeri terkaya tersebut sebagai modal politik mereka menjelang piihanraya yang harus diadakan sebelum pertengahan 2013.

Namun, kerajaan Pakatan di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan perkara tersebut berpunca dari loji rawatan air yang dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Syabas sebaliknya mendakwa terdapat krisis kekurangan air dan menggesa kerajaan Selangor untuk meluluskan pelan membina loji rawatan air Langat 2 bagi menangani masalah tersebut sebelum 2014. (TMI)

No comments:

Post a Comment