Thursday, 13 September 2012

INNABAH KAMAL PUSAT ILMU & PEMULIHAN AKHLAK





CENDERAHATI …. Puan Hjh Rogayah Ketua Rombongan Brunei Darussalam menerima cenderahati kenangan daripada Hj Mustafa.

Oleh : SHAIMON S JUMADI          Foto : FAIRUL ZAMAN FAJEER

KOMPLEKS Inabah Kamal Semporna yang ditubuhkan pada tahun 1994 selain  merupakan Pusat Bimbingan dan Dakwah Islamiyah di daerah ini, ia juga merupakan  salah satu  Pusat Pemulihan Akhlak bagi membimbing masyarakat yang terjebak dalam ketagihan narkotik.

Dalam tempoh lebih  20  tahun lalu, Kompleks Inabah Kamal telah berjaya memulih dan melatih seramai lebih 180 orang penagih dadah yang telah dihantar ke pusat ini bagi mengikuti latihan  yang sedia ada untuk memulihkan akhlak mereka untuk kembali ke pangkal jalan dan membina kehidupan baru bersama-sama masyarakat normal yang lain.

Perkara ini dijelaskan sendiri  oleh Haji Mustafa Hj Abu Salam, Pegawai Tadbir Kompleks Inabah Kamal Semporna dalam satu sesi temubual dengan Sabahkini.Net  sejurus selepas Majlis Taklimat dengan Rombongan Pegawai Anti Narkotik Brunei yang berkunjung ke pusat tersebut, kelmarin.

Kata Hj Mustafa, Kompleks Inabah Kamal ini sebenarnya diurus tadbir oleh Yayasan Sabdi melalui Jemaah  Lembaga Pemegang Amanah dan Lembaga Pengarah yang merangkumi  Sekolah Agama (Madrasah), Asrama  Anak Yatim, Pusat Pemulihan Akhlak, Masjid, Tabika Islamiyah yang ada hubung kait dengan aktiviti latihan dan Kursus Bimbingan Islam termasuk Pusat Kesenian Islam.

Menurut Hj Mustafa lagi, matlamat menubuhkan Yayasan Sabdi yang merupakan  tonggak kepada Kompleks  Inabah Kamal  lebih menjurus kepada membantu meningkatkan Syiar Islam; membantu Masyarakat Islam khususnya yang daif; Membantu mewujudkan masyarakat yang bertaqwa dan bermanfaat untuk kehaormanian Agama dan Negara; Membantu Mengembangkan Pusat-Pusat Latihan Dan Pendidikan Islam; Mendokong Usaha-Usaha Kebajikan; Kemajuan dan Pembangunan Modal Insan; di samping melahirkan generasi  muda yang beriman, berilmu soleh, berakhlak, mulia serta bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Tambahnya, tanah seluas 25 ekar itu yang dijadikan tapak bangunan Sekolah Agama (Madrasah) dan Pusat Kompleks Pemulihan Innabah Kamal tersebut tambah Hj Mustafa,  pada mulanya dimiliki oleh Tun Haji Sakaran Dandai; yang  kemudiannya mewakafkan tanah tersebut untuk diguna pakai bagi membina bangunan Institusi Badan Agama di daerah Semporna.

“Inilah cita-cita dan hasrat murni beliau (Tun Sakaran) sebenarnya; yang matlamat utamanya untuk turut sama membantu masyarakat khususnya umat Islam, bukan sahaja untuk meningkatkan dakwah syiar Islam, bahkan untuk membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat Islam setempat,” kata Hj Mustafa.

1 comment:

  1. Asslmkm. Sy nur, boleh saya dapatkan no.hp atau alamat innabah kamal

    ReplyDelete