RAMPAS....Ang
(kiri) bersama beberapa anggota JSJ sedang menunjukkan motosikal yang berjaya
dirampas hasil serbuan itu.
Oleh : MOHD NAZIB MACPEE
LAHAD DATU: Polis berjaya
menyelesaikan 25 kes curi motosikal dan tiga kes pecah rumah di sekitar daerah
ini berikutan tertangkapnya ketua Geng Gopal yang dipercayai dalang kepada
kegiatan itu dalam satu serbuan di Kampung Jawa, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah
Lahad Datu, ASP Ang Seow Aun, berkata hasil intipan pihak polis sejak beberapa
hari lalu, suspek rakyat tempatan yang berumur 22 tahun itu berjaya ditangkap
ketika menunggang sebuah motosikal ketika baru keluar dari rumahnya kira-kira
jam 10.30 malam.
Katanya, hasil tangkapan
yang dilakukan, pihaknya berjaya menemui semula dua motosikal dan dua rangka
motosikal yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor.
Rumah berkenaan juga
dipercayai digunakan untuk menyimpan dan melerai komponen-komponen motosikal
yang dicuri.
“Serbuan diketuai oleh Sjn
Zulkifli dan dibantu oleh tiga anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), yang
mana suspek dikatakan bergiat aktif dalam melakukan kegiatan mencuri motosikal
sejak awal tahun lagi.
“Hasil soal siasat terhadap
suspek, polis berjaya menahan dua lagi suspek lelaki berumur 22 dan 30 tahun
yang dipercayai sebagai pembeli barangan curi terbabit dan merampas dua
motosikal di Kampung Batu 8, Jalan Segama Lama pada Selasa lalu kira-kira jam
11 pagi di dua lokasi berasingan,” katanya.
Ang berkata, selain terlibat
dalam sindiket curi motosikal, suspek juga didapati melakukan beberapa kegiatan
pecah rumah.
“Hasil siasatan juga
menunjukkan bahawa suspek utama turut terlibat dengan satu kes pecah rumah yang
berlaku di Taman Sri Perdana dimiliki seorang doktor melibatkan kerugian
anggaran RM80,000,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku sekitar awal
tahun ini.
Jelasnya lagi, dengan
tertangkap ketua Geng Gopal juga pihak polis turut merampas semula sebuah
telefon bimbit milik tuan rumah yang dipecah masuk, peralatan yang digunakan
ketika melakukan aktiviti mencuri motosikal. (UB)
No comments:
Post a Comment