KERAJAAN Arab Saudi
mengekalkan kuota 28,000 orang untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini,
kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Bagaimanapun, katanya
permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan akan diteruskan berikutan masih
ramai jemaah Malaysia yang belum berpeluang menunaikan haji ekoran kuota yang
terhad setiap tahun.
Sehingga kini seramai
936,000 rakyat Malaysia termasuk 4,000 daripadanya berusia lebih 75 tahun sudah
berdaftar untuk menunaikan haji, katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di
Masjid Putra, di Putrajaya malam tadi.
Sebelum ini isu kuota haji
untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini menjadi kebimbangan banyak
pihak dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi
BERSIH 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lepas.
Berikutan tindakan itu,
kerajaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra untuk
melahirkan rasa kecewa dengan tindakan berkenaan.
Sehubungan itu Jamil Khir
menasihati jemaah haji Malaysia supaya menjaga tingkah laku dan ketertiban
sepanjang berada di tanah suci serta tidak mengadakan sebarang program atau
perhimpunan yang tidak dibenarkan.
"Maka ini akan menjadi
satu kekuatan untuk kerajaan Arab Saudi untuk sentiasa melihat Malaysia sebagai
negara keutamaan apabila mereka ingin memberikan kuota tambahan dan sebagainya,"
katanya.
Beliau berkata penerbangan
pertama untuk ke tanah suci tahun ini akan bermula pada 17 September melibatkan
400 jemaah dan penerbangan terakhir pada29 Oktober.
Katanya kerajaan juga akan
mengekalkan kos haji untuk 28,000 jemaah muassasah iaitu pada kadar RM9,980
seperti tahun lepas, manakala jemaah kali kedua atau seterusnya perlu membayar
tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi.
Mengenai Kursus Perdana Haji
yang dianjurkan serentak di seluruh negara, Jamil Khir berkata ia diharap akan
memberikan gambaran dan panduan lengkap kepada bakal jemaah untuk melaksanakan
ibadah kelak.
"Kursus ini adalah
sebahagian daripada apa yang dirancangkan supaya Malaysia kekal menjadi negara
ikon, contoh dan penanda aras kepada negara-negara dunia yang melihat Malaysia
begitu tertib, berdisiplin dalam pengaturan dan penyusunan jemaah haji,"
katanya.
Katanya Tabung Haji juga
sudah melancarkan e-Book supaya dapat dijadikan panduan untuk jemaah Malaysia
merujuk mengenai sebarang masalah berkaitan ibadah itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment