KETUA MENTERI Sabah Datuk
Seri Musa Aman memberi empat sebab mengapa rakyat Sabah perlu terus menyokong
BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kekal sebagai perdana
menteri.
Beliau berkata empat sebab
berkenaan amat diperlukan demi kemajuan berterusan negeri dan kemakmuran rakyat
Sabah meskipun negeri itu sudah mengecapi banyak kemajuan dan pencapaian di
bawah kepimpinan Najib sekarang.
"Mengapa kita perlu
mengekalkan BN? Mengapa Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu terus menjadi perdana
menteri? Jawapannya mudah sahaja, kerana kita inginkan pembangunan, kita ingin
kesejahteraan, kita inginkan keamanan dan kita inginkan kemakmuran serta
keharmonian," katanya.
Musa yang juga Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Sabah berkata demikian ketika berucap pada Persidangan
Perwakilan Umno Bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran
secara serentak yang dirasmikan oleh Najib di Dewan Serbaguna Sri Libaran,
dekat Sandakan, kelmarin.
Beliau berkata sebaliknya
jika rakyat Sabah silap memilih parti dan pemimpin untuk membentuk kerajaan
pada pilihan raya umum akan datang, Sabah dan rakyat negeri itu dikhuatir
kembali kepada suasana kemunduran dan ketidakstabilan politik akibat
perpecahan.
Bagaimanapun, Musa berkata
rakyat Sabah sejak dahulu lagi sudah bijak dan matang berpolitik serta tidak
mudah dipengaruhi parti pembangkang yang disifatkannya sebagai "pura-pura
cacat penglihatan" kerana enggan mengakui pembangunan pesat yang dialami
negeri Sabah di bawah BN.
Katanya rakyat tidak kira
latar belakang kaum dan kepercayaan, sama ada di bandar atau di luar bandar
sudah dapat menikmati dan mendapat banyak manfaat daripada pelbagai program dan
inisiatif yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Najib seperti Program Transformasi
Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.
"Ada orang mengatakan
macam mana perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) ini. (Rakyat) Di laut
tolong. di darat pun ditolong. Nelayan ditolong, petani, pesawah pun ditolong,
(rakyat) di desa pun dapat di kota pun dapat, kanak-kanak pun dapat orang tua
pun dapat, pesara pun dapat malah pemandu teksi pun dapat," katanya.
Menurut Musa selain
pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri
juga melalui inisiatifnya sendiri berusaha membawa kemajuan kepada rakyat
dengan memperkenalkan pelbagai program untuk meningkatkan taraf ekonomi dan
hidup mereka.
Katanya projek mini estet
sejahtera (MESEJ), penubuhan Pusat Kraftangan, program galakan perniagaan dan
keusahawanan dan pembinaan pelbagai infrastruktur asas merupakan sebahagian
daripada inisiatif kerajaan negeri membangunkan rakyat Sabah.
Ketua Menteri berkata
kerajaan negeri juga telah mengambil langkah berani dengan memberhentikan
kegiatan pembalakan secara berleluasa di kawasan seluas beratus-ratus ribu
hektar dan menggantikannya dengan projek penanaman semula hutan demi
kelangsungan sumber asli itu kepada generasi akan datang.
Menurut Musa melalui projek
perladangan hutan itu, Sabah boleh menghasilkan kira-kira 400 pokok balak
berkualiti bagi setiap satu hektar berbanding pembalakan biasa yang jumlah
hasilnya jauh lebih rendah. (Bernama)
No comments:
Post a Comment